Beliau berkata program berkenaan yang dianjurkan bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Johor, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Johor dan Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) negeri harus diberikan pujian.
"Ada wakil daripada pelbagai bangsa dan agama hadir dalam program ini dan kita dapat mendengar perspektif masing-masing untuk melihat Malaysia lebih bersatu padu.
"Hal ini seiring dengan hasrat Malaysia MADANI yang diinspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita menyahut seruan itu untuk membina kefahaman yang lebih baik ke arah Malaysia yang bersatu padu dan gemilang," katanya pada sidang media selepas merasmikan program berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah YADIM negeri Muhammad Ammar Abdullah dan Pengerusi WADAH negeri Baharum Ahmad.
Zulkifli berkata pihaknya menyambut baik inisiatif program berkenaan yang akan diperluas ke seluruh negara.
Sementara itu, Muhammad Ammar berkata program dengan tema "Masyarakat MADANI Tonggak Perpaduan" itu turut melibatkan ahli panel daripada pelbagai kaum.
"Program ini satu langkah penting untuk membuka ruang bagi kita semua berbincang dan berkongsi pandangan tentang bagaimana kita boleh memperkasakan nilai-nilai masyarakat MADANI.
"Kita perlu memahami bahawa perpaduan bukan hanya berkaitan toleransi, tetapi juga melibatkan kerjasama aktif, pengertian dan penghargaan terhadap perbezaan yang ada," katanya.
Beliau pada masa sama berkata ikatan perpaduan yang dikecapi di negara ini akan menjadi landasan utama untuk mencapai kemajuan berterusan dengan kerjasama pemimpin dan masyarakat.
-- BERNAMA