Oops! Kekecohan pada hari penamaan calon yang kita masih ingati dalam PRU terdahulu
Hari Penamaan Calon tidak lepas dengan warna-warninya; ada yang kecoh, ada juga yang tenang dan berjalan lancar.
Astro Awani
Sat Nov 05 2022
Hari Penamaan Calon tidak lepas dengan warna-warninya; ada yang kecoh, ada juga yang tenang dan berjalan lancar. - Gambar fail/Bernama
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.66 Bugaya, Sabah pada Sabtu, 5 November.
Selepas 14 kali melalui Pilihan Raya Umum, Hari Penamaan Calon tidak lepas dengan warna-warninya; ada yang kecoh, ada juga yang tenang dan berjalan lancar.
Mari kita imbas beberapa insiden 'kekecohan' termasuk kertas pencalonan yang ditolak semasa Hari Penamaan Calon sebelum ini, baik bagi PRU mahu pun Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Negeri (PRN).
PRU14 (2018)
Permohonan Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua untuk bertanding di Parlimen Batu ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) ekoran sabitan satu kes mahkamah pada 2013. Tian Chua mengakui terkejut dengan keputusan itu kerana kes itu sudah selesai malah mendakwa Makamah Tinggi menyatakan beliau tidak hilang kelayakan untuk bertanding.
Calon Bersatu, Pizi Jihat yang bertanding di kerusi DUN Bukit Pasir, dilaporkan hilang kelayakan kerana masalah dokumentasi.
Calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Tan Yee Kew cemas apabila MyKad miliknya tertinggal ketika melengkapkan borang pencalonan (PRU14) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Berikutan kegagalan Yee Kew untuk menunjukkan kad pengenalnya, pegawai SPR tidak membenarkan proses pencalonan diteruskan. Bagaimanapun, masalah berkenaan dapat diselesaikan selepas Yee Kew menunjukkan salinan kad pengenalannya sebelum waktu penyerahan borang tamat.
PRK Kuala Kangsar (2016)
Allahyarham Datuk Abu Backer Sidek Mohamad Zan mengoyak dokumen berkaitan termasuk Borang A dan akuan berkanun dalam Borang 5, kerana kecewa dengan layanan yang diterima daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang didakwa biadab. Abu Backer berkata pencadang dan penyokongnya tidak dibenarkan masuk ke pusat pencalonan susulan sekatan oleh pegawai polis di luar pusat penamaan.