Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar diminta agar membandingkan keadaan bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menentang Tun Dr Mahathir Mohamad dengan zaman Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor dalam satu kenyataan memberitahu, keadaan Anwar dalam era tentangan terhadap Mahathir dan Najib sangat jauh berbeza.

"Kalau masa lawan Mahathir, tidak pernah beliau dilihat menziarahi Anwar ketika bekas timbalannya itu masuk hospital. Yang kita nampak mata lebam Anwar ketika era lawan Mahathir.

"Hari ini, Anwar tidak lagi bermata lebam dan ketika masuk hospital untuk rawatan, beliau terima lawatan Datuk Seri Najib.

"Malah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga ada menjenguk Anwar di hospital," katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor melawat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam muat naik ke akaun Facebook miliknya, Najib juga mendoakan agar Anwar cepat sembuh.

BACA: Najib, Rosmah lawat Anwar di HKL

BACA: Najib ziarah Anwar, keluarga rakam penghargaan

BACA: Ahmad Zahid, isteri ziarah Anwar di HKL


Manakala pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis meluangkan masa menziarahi Anwar Ibrahim di HKL.

Zahid turut mendoakan Anwar agar cepat sembuh.