KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa yang mengekalkan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC beliau membuktikan UMNO meletakkan kedaulatan undang-undang di tempat yang sepatutnya.

Beberapa Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian berpendapat, meski pun perdana menteri sedia ada datangnya daripada UMNO, tetapi tidak ada usaha-usaha untuk menggugurkan kes yang sedang berjalan.

"Kerana itu, UMNO dan Barisan Nasional adalah satu-satunya parti politik yang mendokong kedaulatan undang-undang di negara ini kerana kematangan ahli dan pemimpin UMNO yang selalu dididik untuk tidak mencampuri perjalanan mahkamah.

"Tidak sama seperti pemimpin Pakatan Harapan yang selalu melaungkan tentang kedaulatan undang-undang tetapi mengambil kesempatan sewaktu menjadi kerajaan dengan menggugurkan banyak kes pemimpin mereka walaupun kes-kes itu sedang menjalani perbicaraan.

"Jelas, Pakatan Harapan melacurkan undang-undang negara demi kepentingan mereka sendiri.

"Ahli dan penyokong UMNO dan Barisan Nasional langsung tidak mempertikaikan keputusan mahkamah, tetapi kesedihan mereka hanyalah kerana banyaknya jasa Najib Razak kepada rakyat.

"Ada di antara polisi dan dasar yang diperkenalkan beliau masih wujud ketika ini. Bukan membela walaupun akur dengan keputusan, tetapi janganlah dihina seperti sepasang kain buruk," kata Naib Ketua Pemuda UMNO Ipoh Timur, Firdaus Abdul Rahman.

[LAPOR LANGSUNG] Kes SRC: Mahkamah kekal sabitan dan hukuman, Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

Bagi Naib Ketua Pemuda UMNO Petaling Jaya, Muhammad Yazid Omar pula, keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa menghantar satu isyarat yang jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa semua tohmahan pembangkang dan kempen publisiti antarabangsa besar-besaran mengenai UMNO mengenai konspirasi kehakiman, penyalahgunaan kuasa mahupun korupsi di semua peringkat adalah salah sama sekali.

"Meskipun bersedih kerana permata negara di nafikan kebebasannya selepas melalui proses perundangan yang getir, episod ini menampakkan perdana menteri daripada UMNO menjunjung keluhuran perlembagaan," katanya.

Pada Selasa Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Najib bersalah dalam kes rasuah RM42 juta melibatkan dana SRC International.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan perlu membayar denda RM210 juta bermula semalam setelah dihantar ke Penjara Kajang.