Datuk Seri Mustapa Mohamed menyatakan beliau tidak akan mengosongkan kerusi Parlimen Jeli yang dipegangnnya meskipun didesak beberapa pihak untuk berbuat demikian setelah mengumumkan keluar daripada UMNO 18 Sept lalu.

Bekas pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas dan memperjuang kepentingan rakyat terutama di kawasan yang diwakilinya.

"Terima kasih kepada rakyat Jeli kerana penghijrahan saya untuk jadi anggota Parlimen Bebas diterima baik oleh mereka.

"InsyaAllah saya akan terus berjuang demi mereka. Saya tidak akan letak jawatan (sebagai Anggota Parlimen Jeli) seperti didesak beberapa pihak. Saya akan memperjuangkan kepentingan rakyat dalam dewan dan di luar dewan," katanya ketika memulakan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mengumumkan keluar daripada parti yang disertainya lebih 40 tahun lepas antara lain kerana mengaggap hala tuju UMNO tidak lagi selari dengan prinsip politik yang dipegangnya selama ini.

BACA: Mustapa Mohamed umum keluar UMNO

Dalam pada itu, R.S.N Rayer (Pakatan Harapan (PH)-Jelutong) dalam celahannya memuji tindakan Mustapa keluar UMNO dan mengajak bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menyertai PH.

Mustapa menjawab beliau belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

-- BERNAMA