Mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bermula serentak di 191 bahagian pada 9 pagi ini.

Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan memilih kepimpinan peringkat bahagian dan pusat menerusi dua kertas undi berbeza dalam mesyuarat berasingan yang akan berlangsung pada sebelah pagi.

Kertas undi pertama adalah untuk pemilihan ketua, naib ketua dan 15 exco sayap peringkat bahagian manakala satu lagi kertas undi untuk memilih kepimpinan sayap pusat bagi jawatan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ketua, naib ketua dan 25 exco sayap.

Bagi sayap Pergerakan Wanita UMNO, seramai tiga tokoh layak bertanding untuk jawatan Ketua Wanita, iaitu Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Azizah Mohd Dun sementara empat lagi dicalonkan bagi Naib Ketua Wanita.

Seramai 81 calon bertanding untuk jawatankuasa, dua calon bagi jawatan Pengerusi Tetap Wanita, manakala empat lagi bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap.

Bagi Pergerakan Pemuda UMNO, seramai 207 calon bertanding dengan pecahan dua Pengerusi Tetap, tiga Timbalan Pengerusi Tetap, sembilan bagi jawatan Ketua Pemuda dan sembilan lagi bagi jawatan Naib Ketua Pemuda manakala selebihnya adalah calon untuk jawatankuasanya.

Sembilan individu disenaraikan bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda termasuk Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun, anggota Majlis Tertinggi Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki, Ketua Pemuda Pahang Mohd Shahar Abdullah serta Ketua Bahagian Sungai Besar yang kontroversi Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Bagi jawatan Ketua Puteri pula menyaksikan persaingan antara Naib Ketua Puteri Datuk Zahida Zarik Khan dan exco Puteri Nor Hazreena Mohamad Hashim.

Seramai lima calon lain akan merebut jawatan Naib Ketua, 71 calon akan bertanding sebagai anggota jawatankuasa dan dua calon untuk jawatan Pengerusi Tetap.

Jawatan Timbalan Pengerusi Tetap pula dimenangi Salbiah Saari selepas muncul sebagai calon tunggal untuk jawatan tersebut.

-- BERNAMA