KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Perdana Menteri yang merupakan Ketua Majlis Parlimen mesti membenarkan Usul Proklamasi dan Ordinan-Ordinan Darurat dibahaskan dan dilakukan pengundian oleh Ahli-Ahli Parlimen bagi memenuhi hak Perlembagaan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kegagalan melakukannya boleh dianggap menderhakai titah Yang di-Pertuan Agong.

Malah lebih berat lagi, tegas Asyraf Wajdi, tindakan itu turut melanggar sumpah setia jawatan Ahli Parlimen untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

"Darurat bukan sahaja gagal dan lebih memudaratkan bahkan rakyat diperlaku zalim dengan kompaun melampau hingga RM10,000 dan bersifat pilih kasih (double standard).

"Wajib bahas dan suarakan dengan tegas berkenaan tuntutan rakyat mengenai penambahbaikan Pakej Bantuan Rakyat termasuk i-Citra RM10,000 one-off, moratorium tanpa faedah terakru, moratorium LPPSA, tambahan nilai BPN/ BKC, isu birokrasi dalam proses permohonan dan rayuan, bantuan khas peniaga kecil yang gulung tikar dan lain-lain," katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Malah, jelas beliau, pakar-pakar perundangan dan Perlembagaan juga telah menegaskan keperluan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat diperbahaskan, ditentukan kelulusan dan pembatalannya oleh Ahli-Ahli Parlimen sejajar dengan kehendak Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutan.

 
Sumber Facebook drasyrafwajdidusuki