KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tanggungjawab kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mengumumkan nama calon parti bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor.

Presiden UMNO itu berkata, keputusan tersebut telah dipersetujui oleh pucuk pimpinan parti.

"Saya berikan kuasa kepada Menteri Besar Johor untuk buat pengumuman calon PRK DUN Mahkota," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Persidangan Perundangan Antarabangsa Mengenai Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Khamis.

Pada Isnin lalu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, memaklumkan bahawa calon BN untuk PRK DUN Mahkota akan diumumkan oleh Ahmad Zahid pada minggu ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September, dengan penamaan calon pada 14 September dan pengundian awal pada 24 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.