Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu telah dipertimbang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn pada Rabu.
Selain itu Asyraf menjelaskan, tuntutan itu merupakan tindakan undang-undang yang ditetapkan sekiranya ada mana-mana wakil rakyat cuba melakukan perbuatan sedemikian.
"Mesyuarat juga telah mempertimbangkan dan bersetuju untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta sebagaimana perjanjian dimeterai terhadap wakil rakyat yang telah meninggalkan dan membelakangi pendirian parti,” tegasnya.
Selain itu Asyraf berkata, mesyuarat juga telah memutuskan, seluruh ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk berkampung dan menyelaras gerak-kerja jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) di setiap pusat daerah mengundi, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Tambahnya, gerak kerja jentera akan bermula pada 3 Ogos depan, sempena hari penamaan PRK tersebut.
Asyraf menjelaskan, mesyuarat turut menyentuh mengenai pembunuhan bekas Perdana Menteri Palestin yang juga Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.
Katanya lagi, UMNO bertekad untuk memperjuangkan pembebasan Palestin dan sentiasa bersama rakan mereka di kalangan Hamas, Fatah dan seluruh rakyat Palestin yang sekian lama ditindas Zionis Israel.
"UMNO melalui wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan akan terus memperjuangkan hak dan menuntut keadilan di pentas antarabangsa, agak kekejaman dan sifat kebinatangan Israel dihukum sekeras-kerasnya oleh masyarakat dunia dan negara yang ikhlas cintakan keamanan dan keadilan," tegasnya.