Konvensyen UMNO Selangor yang akan diadakan pada Sabtu dilihat platform untuk mencari formula menawan kembali negeri itu.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, ia merupakan medan semua peringkat dan sayap UMNO Selangor duduk semeja dan berbincang dari hati ke hati terhadap isu negeri.

"Kita semua duduk semeja dan bincang. Cari formula, agenda dan langkah-langkah untuk menawan semula negeri ini daripada Pakatan Rakyat (PR).

"Ia melibatkan semua wakil akar umbi, Pemuda, Puteri dan Wanita. Kita akan melaksanakan setiap perancangan. Kita tidak mahu lagi dilihat retorik di atas kertas," katanya di sini hari ini.

Konvensyen yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bakal membincangkan isu berkaitan situasi politik di negeri ini.

Ia akan dirasmikan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tiga kertas kerja akan dibentangkan pada konvensyen bertema ‘Bersama Melaksanakan Transformasi’ itu termasuk mengenai isu memenangi hati pengundi serta isu dan cabaran menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar juga akan menyampaikan ucapan dasar bertajuk “Menawan Selangor pada PRU 14".

Konvensyen itu adalah kemuncak kepada program dan aktiviti UMNO Selangor sepanjang tahun ini seperti yang dituntut oleh perlembagaan parti.

Dalam pada itu kata Johan, kerjasama UMNO dengan komponen Barisan Nasional (BN) negeri juga disifatkan sentiasa kukuh walaupun negeri itu ditadbir PR.

"Komponen lain juga sudah mengadakan konvensyen masing-masing. Konvensyen ini juga merupakan tanda kerjasama berterusan.

"Kita akan tekankan program-program yang menyentuh hati rakyat dan memfokuskan kepada aktiviti yang lebih dekat kepada rakyat," jelasnya.

Seramai 1,500 peserta terdiri daripada kepimpinan UMNO peringkat bahagian, anggota Kelab Veteran UMNO dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Selangor (Mubarak) dijangka menghadiri konvensyen kali ini.

BN kini memegang 20 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Daripada jumlah itu, UMNO menguasai 18 kerusi selain MCA memegang baki kerusi BN di negeri itu.