Isu yang disifatkan remeh diperbesarkan apabila pemimpin utama Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuat pelbagai kenyataan dan cadangan, sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Sarawak khususnya penyokong dan penerajunya.

Sesetengah pihak melihat dan menyifatkan kenyataan itu agak "kontroversi" seolah-olah cuba meremehkan cadangan penubuhan GPS.

Isu pembentukan satu parti pelbagai kaum yang dibangkitkan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing adalah isu politik dan sepatutnya dibincangkan secara tertutup oleh GPS, menurut seorang penganalisis politik.

Pensyarah kanan Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat ia boleh menyebabkan pelbagai tafsiran politik, lebih-lebih lagi Masing ialah timbalan ketua menteri Sarawak dan juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS).

"Apabila Masing mengeluarkan kenyataan tersebut dan kemudian mendapat respons daripada pihak lain, khususnya oleh parti komponen, beliau dan penyokongnya perlu melihatnya sebagai kebebasan bersuara sebagaimana dirinya bebas bersuara," katanya kepada Bernama.

Namun, katanya apabila Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberi respons maka isu itu telah mendapat pelbagai respons netizen.

Abdul Karim dilaporkan sebagai berkata bahawa parti yang diketuai Masing, iaitu PRS boleh keluar meninggalkan GPS jika mereka merasakan dengan menyertai gabungan itu adalah satu bebanan, manakala sebelum ini Masing telah menyatakan bahawa penubuhan GPS tidak membawa makna sekiranya ia dikuasai oleh sebuah parti sahaja.

BACA: 'Usah jadi seperti tuak dalam botol baharu tapi kandungannya lama' - Jeniri

BACA: Abang Jo tidak pernah jumpa Zahid sejak keputusan PRU14


Menurut Awang Azman, ada juga pihak yang telah melihat isu berkenaan sebagai isu perkauman kerana kebetulan kedua-duanya daripada etnik berlainan, di samping ada juga pihak mengaitkannya dengan UMNO yang dikatakan telah menyekat suara parti lain dalam komponen Barisan Nasional (BN) sehingga menyebabkan kekalahannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Itulah bahayanya apabila tidak menggunakan saluran yang betul untuk bersuara sedangkan pihak yang terlibat seperti Masing ialah timbalan ketua menteri manakala Karim ialah menteri kabinet Sarawak," katanya.

Menurutnya isu etnik sering digunakan oleh pemimpin negara membangun sebagai alat politik yang ampuh meskipun sudah berpuluh tahun gagal memajukan rakyat mereka sendiri.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Datuk Peter Minos memberitahu Bernama bahawa adalah menjadi tanggungjawab pemimpin utama GPS untuk menaikkan semangat dan menghidupkan suasana bagi entiti politik baharu itu.

Beliau berkata apa yang paling penting ialah berusaha mendaftarkan GPS dan melancarkannya secepat mungkin sebelum semangatnya berkurangan dan suasana menjadi suram.

"Sudah tentu cakap lebih mudah daripada melaksanakannya, tetapi sekiranya GPS dilancarkan sebaik sahaja BN ditolak keluar daripada politik Sarawak, itulah yang terbaik," kata Minos, yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan dan bekas timbalan ketua publisiti PBB.

"Banyak orang bertanya, atas rasa ingin tahu dan juga bimbang, apa yang sedang berlaku dan bagaimana dengan masa depan GPS. Adakah ia akan menjadi kenyataan sedangkan kini ia diselubungi "kontroversi?" katanya.

Minos bagaimanapun yakin GPS akhirnya akan didafarkan dan menurutnya ia amat diperlukan untuk menggantikan BN di Sarawak dan kerajaan negeri pimpinan GPS perlu wujud secepat mungkin.

-- BERNAMA