Keseimbangan pentadbiran yang mengambil berat tentang kemajuan Islam, seiring perkembangan ekonomi, menjadi ramuan Kerajaan Negeri Johor utuh di bawah Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, rakyat di Johor juga tidak sabar untuk terus menantikan kejayaan baharu yang akan dibawa untuk dinikmati mereka.

"Melayu di sini mahu mengekalkan pentadbiran Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengambil berat tentang kemajuan agama Islam dan perkembangan ekonomi.

"Keseimbangan ini menjadi kekuatan pentadbiran Mohamed Khaled. Kami tidak mahu menjadi seperti Melayu di Selangor dan Pulau Pinang.

"Keseimbangan pentadbiran ini menjadi benteng Johor dari serangan pembangkang," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini. .

Beliau menambah, antara perkara yang menjadi tumpuan pentadbiran kerajaan BN di Johor selepas ini ialah untuk menjadi negeri paling selamat.

"Kadar jenayah terendah akan cuba dicapai bagi memastikan Johor menawarkan persekitaran paling sempurna untuk didiami," katanya.

BACA: Johor catat indikator kecekapan tinggi berbanding negeri PH - Bastien

BACA:
Jangan ganggu dinamik hala tuju Johor - Bastien

Bastien mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali yang menyatakan Pakatan Harapan (PH) mensasarkan untuk menang di Johor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Jelas Sheikh Omar Ali lagi, PH bukan sahaja mahu menawan Johor malah akan memastikan negeri itu menjadi penyumbang untuk kerusi-kerusi Parlimen dalam memastikan kemenangan di peringkat persekutuan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, DAP sedang menyerang dan cuba menawan Johor pada PRU ke-14 akan datang.

DAP juga dilaporkan kini sedang melakukan pertukaran alamat bagi proses untuk menukar tempat mengundi.

Ia sekali gus membolehkan undi dari kawasan seperti Seputeh, Puchong, Bukit Bintang, Batu, Kepong dan bandar-bandar yang dimenangi DAP dengan majoriti besar membantu undi di kawasan luar bandar.

Bastien turut menyatakan ucapan terima kasih di atas peringatan yang diberikan Ahmad Zahid yang peka dengan perkembangan berkenaan.

"Selaku Naib Presiden UMNO yang memangku tugasan Timbalan Presiden parti, beliaulah yang akan mengetuai jentera pilihanraya nanti.

"Jika diamati peringatan ini amat tepat kerana setelah Selangor dan Pulau Pinang, sudah tentu Johor menjadi sasaran bagi melengkapkan tiga negeri termaju untuk dikuasai pembangkang.

"Tetapi haruslah diketahui oleh Sheikh Omar Ali bahawa Johor selesa dan yakin dengan pentadbiran BN. Ia akan melengkapkan negeri ini dengan ekonomi yang bagus, sistem pendidikan agama yang lengkap dan negeri yang selamat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Bastien mempersoalkan 'kehilangan' wakil rakyat PH yang tidak menjenguk pengundi mereka di kawasan masing-masing.

"Rakyat di Johor ini sedang tertanya-tanya kemanakah hilangnya wakil rakyat PH yang langsung tidak nampak muka?

"Penduduk di Gelang Patah, DUN Jementah, Batu Pahat, Bakri memerlukan khidmat wakil rakyat mereka. Mereka langsung diabaikan dan wakil rakyat ini pula berangan-angan hendak menawarkan diri di tempat lain pula.

"Oleh yang demikian, perlu peringatkan sesama bangsa Johor, jangan biarkan pengundi-pengundi DAP yang dipindahkan ke Johor ini menjadi penentu masa depan kita.

"Hanya mereka yang benar-benar berdamping dengan rakyat sahaja dipilih menjadi wakil kita di Johor," ujarnya.

Jelasnya, BN Johor akan membalas keyakinan yang diletakkan oleh Ahmad Zahid bahawa negeri itu akan terus menjadi 'fixed deposit' kepada pentadbiran pusat.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini menyatakan 15 kawasan Parlimen di Johor menjadi sasaran pembangkang antaranya di Segamat, Johor Bahru dan Sri Gading.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru Syaiful Rizal Abdul Ghani menegaskan, dakwaan DAP tidak serupa dengan realiti yang sedang berlaku di negeri itu.

"Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor Bahru yang juga Pengarah Sukarelawan Muda Barisan Nasional (BNYV) Akmal Saufi Mohamed Khaled merupakan seorang individu yang sangat komited dalam tugasannya. Tidak perlu rasanya DAP menjadi wakil jurucakapnya.

"Kesungguhan Akmal untuk parti di Johor sudah dibuktikan. Sangat pelik apabila apa yang cuba digambarkan DAP tidak serupa dengan apa yang kita lihat," katanya.