Meskipun berasa kesal dengan insiden seorang perwakilan UMNO menegur presiden parti, perkara lebih penting adalah memahami intipati mesej yang hendak disampaikan, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan keras seorang anggota wanita UMNO Langkawi pada Presiden parti dalam mesyuarat perwakilan sayap itu pada Sabtu lalu.

“Sekarang ini memang kita bersifat terbuka dan dalam membenarkan perwakilan kita untuk meluahkan isi hati, supaya kita membuat sebarang keputusan mestilah berdasarkan kepada maklumat yang kita dapat daripada akar umbi.

“Kadang-kadang perasaan diluahkan dengan kata-kata yang agak kesat. Itu saya kesali,” ujar Mukhriz yang ditemui dalam majlis menandatangani perjanjian pembiayaan antara Bina Darulaman Berhad (BDB) dengan Malayan Banking Berhad (Maybank) dan OCBC Al-Amin Bank Berhad di ibu negara.

Beliau berkata, walaupun perwakilan itu boleh ditegur kerana tindakannya, namun apa yang lebih penting ialah memahami mesej yang cuba disampaikannya.

Tambah beliau, setakat ini tiada apa-apa aduan dibuat oleh UMNO Langkawi dan kes itu perlu dijadikan sebagai tanda aras supaya had tersebut tidak dilanggar.

“Saya juga mendengar Pemuda (UMNO Kedah) pun ada juga membuat kenyataan dan ucapan yang boleh dianggap keras juga.

"Tapi kita hendak supaya apa sekalipun yang hendak mereka sampaikan itu biarlah dengan cara yang berhemah. Kadang-kadang susah nak kawal emosi,” kata beliau.

Mukhriz yakin bahawa UMNO mempunyai saluran dan ruang yang sewajarnya untuk menerima komen daripada sesiapa pun asalkan ia dilakukan dengan ikhlas demi kepentingan parti.