SIMPANG RENGGAM: Nasib kerusi panas Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal ditentukan beberapa hari lagi yang pastinya tumpuan terarah kepada dua calon ‘heavyweight’ iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Maszlee Malik yang juga merupakan penyandang kerusi berkenaan serta calonBarisan Nasional (BN), Datuk Seri Hasni Mohammad.

Saingan empat penjuru di Simpang Renggam turut melibatkan calon dari Perikatan Nasional (PN), Mohd Fazrul Kamat dan Kamal Kusmin yang mewakili parti Pejuang.

Apa yang menjadi keutamaan adalah soal tawaran setiap calon di kerusi itu dalam usaha untuk memikat hati pengundi.

Bagi calon PH, Maszlee berkata, keutamaannya ketika ini adalah untuk meneruskan segala perancangan di Simpang Renggam yang mungkin terbantut sebelum ini.

Ini termasuklah soal untuk memperkasakan aspek pendidikan di kawasan itu.

“Ketika kita (PH) jadi kerajaan dan sewaktu saya jadi Menteri Pendidikan ada rancangan untuk bina sekolah asrama penuh dan wujudkan politeknik di Simpang Renggam serta beberapa cawangan universiti tempatan.

“Usaha itu terhenti apabila berlaku pertukaran kerajaan termasuk rancangan untuk bina kawasan permotoran untuk elak berlakunya gejala 'mat rempit' yang telah korbankan banyak nyawa.

“Tekad saya adalah untuk teruskan segala perancangan ini jadi kita sudah laksanakan beberapa perkara jadi mengapa kita perlu berhenti di tengah jalan,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.


[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Zahid tidak akan jadi PM jika BN menang - Tok Mat


Mengulas lanjut, Maszlee berpendapat, Simpang Renggam sudah cukup dikenali malah di peringkat dunia apabila kawasan itu juga pernah dihadiri beberapa wakil dari negara luar.

Sementara itu, calon BN, Hasni berkata, isu perumahan di kawasan sekitar antara perkara yang bakal diangkat calon berkenaan.

Hasni yang juga bekas Menteri Besar Johor itu menyatakan, Simpang Renggam mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Kalau di Simpang Renggam ini usahawan-usahawan perlukan banyak sokongan dan galakan dari kerajaan mungkin dari segi pendedahan berhubung produk yang mereka keluarkan dan sebagainya.

“Jadi kita mungkin boleh wujudkan pejabat FAMA yang terpenting di Johor ini untuk dibuka di Simpang Renggam untuk beri galakan kepada usahawan-usahawan di sini,” katanya.

Menurut Hasni, pengalaman yang beliau perolehi sebelum ini sedikit sebanyak memberikan nilai tambah terhadapnya untuk membangunkan kawasan terbabit.

“Maka atas sebab itu adalah wajar Parlimen Simpang Renggam menjadi kawasan keutamaan apatah lagi banyak potensi yang ada dapat diperhebatkan bergantung kepada kerajaan negeri dan Pusat.

“Saya sentiasa berpijak dibumi nyata, saya tidak bawa angan-angan, saya mahu berbakti kepada rakyat Simpang Renggam,” ujarnya lagi.

Isu pendidikan berasaskan kemahiran pula menjadi faktor utama bagi calon PN, Mohd Fazrul Kamat yang berpendirian usaha itu perlu digandakan bagi memastikan produk anak tempatan tidak menjadi sia-sia.

“Ramai anak muda yang telah tamat pengajian masih tidak mempunyai pekerjaan kerana ada yang tidak mempunyai kemahiran tertentu.

“Kita nak tumpu juga soal ‘upskilling’ kerana kawasan Simpang Renggam mempunyai banyak peluang perniagaan dan pertanian yang tidak diguna pakai untuk manfaat penduduk setempat,” katanya.

Mohd Fazrul turut menyatakan, faktor beliau yang juga merupakan calon anak tempatan memberikan akses mudah terhadapnya selain lebih memahami suara setempat.

Dalam pada itu, calon Pejuang, Kamal Kusmin berhasrat untuk menambah baik segala gerak kerja yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini.

Beliau yang dihubungi Astro AWANI menyatakan, infrastuktur jalan raya turut menjadi keutamannya serta usaha untuk menubuhkan hab perniagaan bumiputera di bawah satu bumbung.