KLUANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Seri Hasni Mohammad yakin negeri ini akan menjadi tiang seri kepada kemenangan gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau yang juga calon BN Parlimen Simpang Renggam berkata warga Johor mahukan kerajaan yang stabil dan antara buktinya Kerajaan Negeri Johor yang dipimpin BN itu telah menjadi sebuah kerajaan yang progresif dan maju selepas menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lepas.

"Dalam PRN Johor, BN telah mendahului dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), ia bukan sahaja mengembalikan Johor sebagai kubu kuat BN, tetapi akan menjadi tiang seri kemenangan kepada BN dalam PRU15," katanya kepada pemberita selepas menghadiri kenduri sekampung di Kampung Parit Salman, di sini, hari ini.

Hasni yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, dalam tempoh satu atau dua penggal ke hadapan, negeri ini mempunyai masa hadapan yang cerah kerana barisan anak muda dalam BN akan meneruskan kesinambungan dalam membangunkan Johor sekali gus menyumbang kepada kemajuan negara.

Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir majlis ramah mesra bersama warga Parlimen Ayer Hitam dekat sini, berkata beliau mahu Johor kembali menjadi kubu kuat UMNO dan BN, sekali gus menyumbang kepada kemenangan gabungan itu pada PRU15.

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) akan mencipta kejayaan dalam PRU15 sekiranya peratusan keluar mengundi melebihi 70 peratus, Hasni berkata BN sudah pun mempunyai pengundi tegar yang setia terhadap gabungan itu.

Seramai 2,616,576 pengundi biasa termasuk tentera, polis dan pasangan layak untuk mengundi di Johor dalam PRU15.

-- BERNAMA