Kerajaan Selangor digesa memberikan penjelasan secara telus kepada rakyat berhubung penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG), yang mana penubuhan syarikat itu telah mencetuskan kontroversi di negeri ini.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata langkah itu perlu berikutan rakyat mahukan kebenaran seperti mana yang berlaku dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Prinsipnya di sini rakyat mahukan kebenaran dan keadilan yang mana sebelum ini ia banyak berkisar pada isu 1MDB.

Hari ini giliran pihak DEIG...sekiranya ada perkara yang tidak kena dan perlukan penjelasan, mereka perlu beri penjelasan kerana ini membabitkan isu korporat dan kita mahukan satu badan korporat yang baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam di sini, hari ini.

BACA: Masalah RM30 bilion DEIG lagi besar dari derma RM2.6 bilion - Rahman Dahlan

BACA: DUN Selangor: Saari Sungib bentang usul tangguh operasi DEIG

BACA: Penubuhan DEIG cetus kebimbangan BN Selangor

Terdahulu Hishammuddin dalam ucapan perasmiannya menyentuh mengenai DEIG dan meminta pihak berkaitan menyiasat entiti baharu itu yang didakwa diwujudkan bagi menstruktur semula pelaburan anak-anak syarikat yang berada di bawah Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pertahanan turut meminta media memberikan liputan yang adil bagi mencari kebenaran berhubung isu penubuhan DEIG tersebut.

"Kita juga mahukan tindakan yang sama adil dalam liputan media...jika sebelum ini media bertumpu pada isu 1MDB jadi kita mahu soalan-soalan yang sama turut dilontarkan terhadap DEIG...bagaimana mereka mahu menjawab itu terserah pada tuan punya badan tetapi ia mesti dijawab," katanya.

Pada Selasa lepas, beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor termasuk bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan kebimbangan mereka terhadap ketelusan penubuhan DEIG yang akan mengambil alih peranan MBI dalam menguruskan pelaburan anak-anak syarikat di bawah pemerbadanan itu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali menjelaskan DEIG, yang dimiliki sepenuhnya oleh MBI, ditubuhkan pada Disember lepas untuk memberi fokus kepada sektor pelaburan, aset dan perniagaan semata-mata.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata penubuhan DEIG dapat mengurangkan impak serta risiko perniagaan secara terus terhadap kerajaan negeri.