Pertama, katanya beberapa kerajaan negeri telah menyatakan pendirian untuk tidak ikut sama sekiranya kerajaan pusat membubarkan Parlimen lebih awal.
Menurut Rafiq, keadaan ini dilihat akan meningkatkan kos penganjuran pilihan raya yang mungkin dibuat secara berasingan memandangkan pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibuat serentak.
“Contohnya kita lihat Pas sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tak akan terikut-ikut rentak sekiranya kerajaan pusat terbubar.
“Komplikasinya, kalau kita adakan PRU dan kemudian ada lagi Pilihan Raya Negeri (PRN), ianya memberi satu tambahan kos pengurusan ketika kita tahu rakyat tengah susah tapi kita (ahli politik) nak bebelanja lebih.
“Kenapa tak boleh tunggu beberapa bulan sahaja lagi? Kalau berlaku PRU dan PRN bersekali, jumlah wang yang dapat dijimatkan itu lebih besar," jelasnya.
Kedua, katanya bulan-bulan penghujung tahun ini ramai sedia tahu bahawa musim tengkujuh akan melanda.
Tegas Rafiq, sepatutnya tumpuan semua pimpinan ketika ini adalah untuk mempersiapkan negara berdepan sebarang kemungkinan musibah ketika berlaku perubahan musim ketika dunia sedang mengalami krisis iklim yang menyebabkan cuaca menjadi sangat tidak terduga.
“Jabatan Meteorologi telah memperlihatkan bahawa hingga November kita akan ada satu perubahan cuaca yang akan memberi kesan kepada banjir.
“Sepatutnya hari ini kita kena beri tumpuan merangka strategi untuk pastikan jangan berlaku lagi senario seperti sebelum ini di mana ramai rakyat tak mendapat pembelaan sewajarnya," ujarnya lagi.
Tonton sesi penuh Dialog Bipartisan: Mengintai PRU15 dihoskan oleh Luqman Hariz, di sini: