Media mula berkumpul sejak jam 7 pagi bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi politik melibatkan gabungan parti mana yang akan membentuk kerajaan.
Sejak jam 10 pagi tadi, beberapa pimpinan PN dilihat mula memasuki kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara di sini.
Ia termasuk Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Semalam, Abdul Hadi berkata, gabungan parti itu masih menunggu undangan Istana Negara pada bila-bila masa sahaja.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Parlimen tergantung, rundingan bentuk kerajaan bermula
Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, PN sudah mempunyai lebih majoriti sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.
Malah, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam satu kenyataan berkata, surat akuan berkanun (SD) yang dihantar ke Istana Negara adalah melebihi 112 jumlah Ahli Parlimen.
Namun, perkara itu masih lagi menjadi persoalan selagi tidak ada sebarang perkhabaran rasmi dari Istana Negara.
Justeru, situasi semasa itu menyebabkan banyak pihak masih mencongak gabungan parti mana yang boleh membentuk kerajaan.
Dalam masa sama, kerusi parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan terus menjadi ‘rebutan’ bagi mencapai majoriti sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan PN menang 73 kerusi Parlimen setakat ini termasuk 22 calon PN yang menggunakan logo Pas.