Pemuda UMNO Wangsa Maju membekukan semua aktiviti mereka ke satu tarikh yang belum ditentukan kerana kecewa bila mendapat khabar kerusi Parlimen Wangsa Maju diserahkan kepada MCA.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Wangsa Maju, Wan Muhammad Azri Wan Deris mendakwa jentera UMNO bahagian tersebut telah bertungkus lumus sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Wan Azri juga mendakwa MCA tidak melakukan kerja-kerja yang sepatutnya untuk bertanding di Parlimen tersebut.

"Kami mendapat makluman awal Wangsa Maju diberikan kepada MCA bertanding jadi kami sebagai UMNO Wangsa Maju yang sudah buat kerja bertahun-tahun dengan macam-macam kerja rasa amat kecewa lah jika MCA bertanding kerana MCA tak buat kerja langsung sejak selepas PRU13 hingga hari ini.

"Tengku Adnan juga pernah berjanji bahawa Wangsa Maju mesti UMNO bertanding, mesti Melayu bertanding jadi janji itu sangat mengecewakan.

"Namun, kami bukanlah nak sabotaj parti cuma kami ingin menyatakan rasa kecewa kami jika benar MCA diberikan tempat di Wangsa Maju," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.


Awal malam ini, tular di media sosial gambar-gambar bendera Barisan Nasional (BN) di kawasan yang didakwa Wangsa Maju diturunkan oleh pekerja parti.

Pada PRU13, calon BN yang diwakili UMNO Datuk Mohd Shafei Abdullah tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr. Tan Kee Kwong dengan majoriti 5,511 undi.

Mohd Shafie memperolehi 26,130 manakala Dr Tan mendapat 31,641 undi.

Pada PRU12, calon BN yang diwakili MCA Datuk Yew Teong Look tewas kepada calon PKR Wee Choo Keong dengan majoriti 150 undi.