KUALA LUMPUR: Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang ditubuhkan dalam usaha menggalakkan dialog dan penyertaan rentas parti di Parlimen

Menurut Konvener Bersama, Datuk Seri Azalina Othman Said, agenda kaukus itu antaranya membincangkan isu reformasi institusi terutamanya melibatkan Dewan Rakyat, dan memudahkan penyertaan orang awam dalam proses Parlimen.

Selain Azalina, Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti turut bersetuju melantik Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah sebagai Konvener Bersama.

"Kaukus ini adalah penting untuk memupuk dan memandu persaingan pelbagai parti yang sihat dan produktif bagi melahirkan udara demokrasi yang lebih baik di Malaysia," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Sementara itu, Maria Chin berkata sebagai permulaan, ahli-ahli kaukus bersetuju mengkaji usaha menyemarakkan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Ujarnya, ia bagi menambah baik operasi dewan rakyat termasuk memperkenalkan urusan bukan kerajaan kepada semua ahli Dewan Rakyat.

"Selain itu, ia mempermudahkan rang undang-undang ahli persendirian dan digitalisasi, proses-proses memperkasakan jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen serta mengadakan perbincangan bersama pihak berkepentingan seperti pakar masyarakat sivik, media, dan orang ramai berkenaan agenda pemerkasaan Parlimen dalam mengukuhkan demokrasi," katanya.

Berikut senarai ahli yang terlibat dalam Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti:

1. Datuk Seri Azalinan Othman Said (UMNO)
2. Maria Chin Abdullah (PKR)
3. Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR)
4. Datuk Hasanuddin Mohd Yunur (Amanah)
5. Datuk Xavier Jayakumar (Bebas)
6. Anthony Loke Siew Foke (DAP)
7. Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu)
8. Wong Shu Qi (DAP)
9. Datuk Seri Madius Tangau (UPKO)
10. Datuk Darell Leiking (Warisan)
11. Larry Sng Wei Shien (PBM)
12. Baru Bian (PSB)