KUALA LUMPUR: Jajaran baharu politik antara UMNO dan DAP dianggap sesetengah pihak akan membentuk kerajaan dengan majoriti yang kuat dengan gandingan mantap wakil rakyat pelbagai kaum, kata Kamarul Zaman Yusoff.

Pensyarah Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berpendapat, jajaran baharu itu sekali gus dilihat formula dan ramuan kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"UMNO boleh tarik undi Melayu, Cina akan menyokong DAP dan PKR pula melengkapkan kedua-duanya. Itu kira-kira di atas kertas.

"Sementara harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri lebih tinggi di bawah UMNO jika dibandingkan semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menerajui Pakatan Harapan (PH), namun isu siapa yang bakal menerajui itu akan ditentukan selepas mereka menang kelak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA: Dominasi politik Melayu terencat bila Ahmad Zahid putus hubungan dengan Bersatu - Penganalisis

BACA: 
Ahmad Zahid tiada arah, masih bingung pimpin UMNO - Penganalisis

UMNO sebelum ini dilaporkan telah menghantar surat kepada Perdana Menteri berhubung keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU15.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin juga mengesahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghantar surat berhubung pendirian parti itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu kata Kamarul Zaman, isu penerimaan ahli dan penyokong UMNO mungkin akan mengganggu perkiraan jika parti itu menjalin kerjasama dengan DAP dan Anwar.

"Sejak sekian lama mereka diindoktrinasi dengan fahaman bahawa kedua-duanya adalah pengkhianat kepada bangsa Melayu dan kepada UMNO.

"Namun, sekiranya pemimpin UMNO dapat meyakinkan ahli dan penyokong mereka mengenai keperluan dan kewajaran kerjasama tersebut, maka ini mungkin boleh menjadi kenyataan.

"Apa pun, ia adalah satu perjudian yang sangat besar di pihak UMNO jika ini berlaku," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Profesor Ahmad Atory Hussain berkata, pengundi Melayu belum tentu bersetuju jika jajaran politik itu diadakan.

Beliau turut menyatakan rasa sangsi apakah jajaran baharu itu akan mendapat sambutan sekiranya dilaksanakan.

Sebelum ini Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Hamidin Abd Hamid berkata, keputusan UMNO untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu untuk menghadapi PRU15 dijangka menyaksikan penjajaran baharu dalam landskap politik negara.

Menurutnya perkara itu akan turut mempengaruhi kualiti pemain-pemain politik menjelang PRU15.