Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau memberi jawatan penting dalam parti UMNO Melaka kepada seorang ahli politik yang pernah dikaitkan dengan kes rasuah sebelum ini.

Idris berkata beliau tidak pernah melantik individu terbabit secara rasmi memegang sebarang jawatan penting dalam pertadbiran parti seperti yang didakwa oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini.

"Saya hanya arah beliau untuk melaksanakan pemantauan demi kelicinan jentera parti dan bukannya terlibat dalam urusan mentadbir jentera parti,"katanya kepada pemberita pada majlis sidang media ketika menghadiri Program Bandaraya Penyayang sempena Ulang Tahun Melaka Bandaraya Bersejarah kali ke-14 di rumah seorang penerima bantuan bagi kawasan Tangga Batu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini bahawa beliau melantik seorang pegawai kanan kerajaan bergelar yang sebelum ini pernah ditahan direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan projek-projek Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka.

"Saya hanya melantik beliau bagi memastikan kerja-kerja pemasangan bendera dan sepanduk (Barisan Nasional) mengikut peraturan (yang ditetapkan).

"Kalau itu pun nak dijadikan isu besar...saya tak tahu kenapa kerana (tugasan) itu bukanlah jawatan yang membabitkan kepimpinan atau pentadbiran parti tetapi (hanya) pemantauan," katanya di sini hari ini.

Sementara itu Idris yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Udang menyambut baik penganjuran program Program Bandaraya Penyayang sempena Ulang tahun Melaka Bandaraya Bersejarah kali ke-14 yang disifatkan kaedah terbaik bagi mendekati rakyat dengan membantu golongan sasar yang memerlukan.

"Justeru, inisiatif untuk membantu rakyat dapat dilaksanakan secara kolektif antara kerajaan dan komuniti selaras dengan konsep 'kebajikan tanggungjawab bersama'," katanya.

Pada majlis tersebut Abdullah Ghulam, 42, seorang pemandu lori menerima bantuan kos membaik pulih rumahnya yang didiaminya sejak kira-kira 15 tahun lepas dengan melibatkan kos sebanyak RM10, 000. di bawah program Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar. -- BERNAMA