KUALA LUMPUR: Polis telah merakam seorang individu berpangkat Datuk Seri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitan seorang ahli politik di negara ini yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, saksi itu telah dikesan dan dirakam percakapan pada Isnin.

"Setakat ini, lima individu telah dipanggil untuk memberi keterangan. Kita juga akan merakam percakapan seorang penulis blog secara dalam talian pada hari ini (Selasa) kerana dia berada di Jakarta, Indonesia," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Disahkan memang beliau pergi ke Myanmar berkaitan satu pelaburan hartanah di kawasan Myawaddy," katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap individu lain yang disyaki terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia.

"Tindakan akan diambil di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, rakyat Malaysia yang menerima tawaran bekerja di luar negara khususnya di negara yang sering dikaitkan sebagai pusat aktiviti jenayah penipuan supaya lebih berwaspada dan membuat semakan terperinci berkaitan tawaran tersebut.

"Orang ramai boleh membuat semakan maklumat di laman web atau semakan melalui agensi berwajib seperti Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Luar Negeri," ujarnya.

Terdahulu Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan laporan kepada SPRM untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya membabitkan satu kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, modus operandi sindiket ialah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai 'scammer' penipuan judi secara dalam talian.

Kata Hishamuddin, baru-baru ini tular satu video di media sosial pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar bertajuk 'Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia' yang diterbitkan di Indonesia.

Sementara itu, dalam kenyataan di Facebook, Mashitah menafikan beliau terbabit dalam kegiatan itu.
Berikutan itu, Mashitah juga dilaporkan sudah membuat laporan berkaitan tuduhan berkenaan selain telah memberi keterangan di Bukit Aman pada minggu lalu. -- Sinar Harian