Hak untuk perbincangan soal perundangan bukan milik Majlis Peguam, sebaliknya hak seluruh rakyat negara ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerana itu, penubuhan Bona Fide Friends (BFF) of UMNO membuktikan suara Majlis Peguam tidak mewakili semua komuniti perundangan di negara ini.
"Kita bersuara dan pertahankan apa yang ada di dalam Perlembagaan. Bona Fide Friends of UMNO buktikan suara Majlis Peguam tidak mewakili suara seluruh rakyat.
"Soal perundangan adalah hak seluruh rakyat. Undang-undang perlu laksanakan secara adil dan saksama. Kita sama-sama tambah baik Akta Hasutan," katanya semasa ucapan penggulungan Naib Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hishammuddin dalam pada itu turut memberitahu, agenda peremajaan wajib dijadikan agenda utama parti selain menjadi tanggungjawab bersama dalam keluarga besar UMNO.
"Pelan strategik perlu dibina segera agar agenda peremajaan kita bukan hanya berkisar pada usia atau jawatan semata-mata.
"UMNO merupakan parti seluruh rakyat yang bukan hanya pada nama namun pada hati, jiwa, nurani dan berdetik di dalam jantung setiap anak bangsa tercinta," ujarnya.
Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberitahu, parti kini harus memberi penekanan kepada pendaftaran keahlian dan daftar pemilih dan pembasmian kemiskinan.
"Sebab itu kita akan memfokuskan kepada kawasan yang perlu kekal kemenangannya. Dan kedua, kita fokus kepada kawasan yang perlu ditawan kembali dalam PRU14.
"Kedua-dua gerak kerja ini membawa pendekatan yang berbeza namun kedua-duanya perlu bergerak berasaskan kepada cawangan di bahagian dan negeri. Lebih banyak cawangan dan ahlinya, maka lebih banyaklah jentera kita di bawah," jelasnya.
Shafie turut menegaskan kepentingan untuk mewujudkan badan khusus bagi mengkoordinasi sekaligus memantau program-program pembasmian kemiskinan.
"Badan ini akan mengkaji semula kesemua agensi dan keberkesanan program sedia ada.
"Badan ini akan bertanggungjawab menyelaras, menetapkan Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) selain memerhati dan memantau agensi berkenaan," jelasnya.