Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menafikan dakwaan seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bahawa beliau terlibat dalam pembelian rumah di bawah harga pasaran semasa.

Menurut laporan Malaysiakini, Lim berkata rumah beliau di Jalan Pinhorn itu berusia 30 tahun dan merupakan sebuah lot bunglo yang biasa.

"Ia bukan rumah agam dan tidak dilengkapi dengan kolam renang.

"Saya akan memberi reaksi kepada perkara berkenaan dalam satu sidang media esok (Jumaat)," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata rumah itu dibeli melalui proses sub-jualan dan bukan dari pemaju.

Hari ini, Dewan Rakyat kecoh selepas Ahli Parlimen Tasik Gelugor Datuk Shabudin Yahaya mendakwa penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Shabudin mendakwa tanah itu dijual secara tender bagi pembinaan hospital swasta dan hotel.

Beliau mendakwa ada sumber yang menyebut Lim telah secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam penjualan tanah itu.

"Lot 305, 306, 313, 314 dijual sedangkan tanah tersebut dicadangkan untuk PPRT...adakah penjualan ini mendapat kebenaran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan... minta menteri jawab," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.


Namun, perbahasan beliau diganggu Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan.

Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohamed Said kemudian bertindak menghentikan kekecohan sesama ahli Parlimen dan meminta Shabudin menggulung perbahasannya.