Pengundi Felda yang sentiasa berada di belakang kerajaan pada PRU yang lepas berkemungkinan besar akan menunjukkan undi protes jika hal-hal yang berbangkit tidak diambil tindakan segera menjelang PRU ke-14.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, kawasan Felda hari ini berdepan dengan cabaran getir dengan pelbagai isu semasa yang gagal ditangani dengan baik.

Katanya pada PRU ke-13 sebanyak 48 Parlimen dalam kawasan FELDA menang sementara enam lagi tewas.

"Jika diandaikan pembangkang mampu menambah 23 kerusi Parlimen di kawasan Felda maka berakhirlah era pemerintahan Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO.

"Kami di Pahang ada 12 kerusi Parlimen yang di dalamnya kawasan Felda, 10 BN menang dan tewas dua kerusi manakala di peringkat DUN BN memenangi 27 kerusi manakala empat kerusi jatuh ke tangan pembangkang.

"Pada PRK Rompin, dua PDM di kawasan Felda turut hilang dari genggaman, menunjukkan kawasan Felda kini bukan lagi benteng pertahanan yang ampuh untuk orang Melayu," katanya semasa membahaskan usul ucapan dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Tegasnya, penubuhan makmal bagi menyelesaikan masalah FELDA juga tidak boleh memakan masa yang terlalu lama.

"Warga Felda bukanlah 'tikus makmal' yang boleh dijadikan bahan ujikaji. Masalah di Felda mestilah diselesaikan segera.

"Paling mustahak diselesaikan, isu pembelian buah kelapa sawit, yang mana pembayarannya sering di tangguhkan sehinga tiga ke empat minggu.

"Felda carilah ikhtiar, baiki aliran tunai supaya pembayaran pembelian buah sawit boleh dibuat serta merta," jelasnya.