Enam calon wanita berjaya dipilih untuk menganggotai Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas mereka mengetepikan lawan masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri ke-11 semalam.

Mereka adalah antara 22 calon wanita yang bertanding dalam pilihan raya itu, mewakili pelbagai parti termasuk BN, PKR, Amanah, Star, PAS dan DAP.

Empat penyandang daripada BN - Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di kerusi Samariang, Hajjah Simoi Peri (Lingga), Datuk Fatimah Abdullah (Dalat) dan calon langsung Rosey Yunus ( Bekenu) - berjaya mengekalkan kerusi masing-masing.

Simoi Peri merupakan calon wanita pertama yang diumumkan kemenangan dengan menewaskan Abang Zulkifli Bin Abang Engkeh (PKR) dan calon bebas Wan Abdillah Edruce Bin Wan Abdul Rahman.

Simoi mempertahankan DUN Lingga menang dengan majoriti 2,943.

Sementara itu Sharifah Hasidah pertahankan kerusi Samariang dengan majoriti yang lebih tinggi daripada pilihan raya negeri ke-10 iaitu 7,760.

Fatimah pula kekal menyandang kerusi Dalat setelah menang dengan majoriti 6,330. Pencabarnya Sim Eng Hua daripada PKR hilang wang deposit.

Calon langsung BN, Rosey menang di kawasan DUN N71 Bekenu dengan majoriti4,789.

DAP yang menurunkan enam calon wanita hanya berjaya menang dua kerusi termasuk Violet Yong Wui Wui yang mempertahankan kerusi Pending dengan majoriti 5,012, namun majoriti itu merosot sebanyak 2,583 daripada 7,595 yang beliau peroleh pada PRN10 tahun 2011.

Irene Mary Chang Oi Ling pula menang dalam pertandingan tiga penjuru di Bukit Assek dengan majoriti 4,497.

Calon lain yang diketengahkan pembangkang pula, iaitu enam wanita yang bertanding atas tiket PKR, calon wanita tunggal PAS, dua daripada Amanah dan dua calon Star kesemua gagal memenangi sebarang kerusi.