KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan bahawa Kerajaan Perpaduan akan jatuh sebagai fatwa politik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, rakyat sendiri boleh menilai 'doa buruk' yang disebutkan Abdul Hadi itu.

"Itu doa buruk beliau. Saya fikir sebagai seorang ulama politik beliau mempunyai fatwa yang berbeza-beza dan fatwa itu bergantung pada situasi.

"Ayat al-Quran yang sama dan hadis yang sama, maknanya sama tapi tafsirannya berbeza.

"Nilai sendirilah apa yang beliau sebutkan itu sebagai fatwa politik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Ibu Pejabat Kemajuan Perusahaan Kecil Getah (Risda) di sini pada Khamis.

Media melaporkan Abdul Hadi Awang menjangkakan bahawa kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi.

Abdul Hadi dilapor berkata demikian ketika berucap pada sesi Dialog Ulama Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini anjuran Yayasan Permata Ummah di Kuala Lumpur pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, semua pihak sepatutnya menumpukan kepada perkembangan ekonomi berbanding kerja-kerja bermotifkan politik yang tidak berpenghujung.

"Ketepikanlah soal perbedaan pendapat. Kalau mahu tukar kerajaan, tukar dalam PRU depan.

"Kalau penggal yang lalu, tiga pertukaran Perdana Menteri dan Malaysia menjadi bahan ketawa seluruh dunia... jangan lakukan kerja-kerja buruk ini untuk menyusahkan rakyat sekali lagi," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau yakin Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan memberikan jawapan rasmi berhubung aduan isu dua jawatan utama parti itu yang tidak dipertandingkan sebelum 11 Mac ini.

"RoS mempunyai tempoh 60 hari daripada hari aduan dikemukakan untuk mereka respon.

"Tetapi oleh kerana 18 Mac adalah merupakan tarikh pemilihan peringkat bahagian dan nasional dan 11 Mac adalah tarikh pemilihan sayap-sayap peringkat bahagian dan nasional, saya yakin RoS akan berikan jawapan rasmi sebelum 11 Mac ini," katanya. -Sinar Harian