KUALA LUMPUR: Keputusan 152 Bahagian UMNO meletak dan menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan tekanan daripada mana-mana pihak.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, sebaliknya, berkata, keputusan mencalonkan nama beliau itu telah disepakati dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti sebelum ini dan telah diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada 152 bahagian itu, Ismail Sabri berkata, usul tersebut bukan satu arahan, tetapi lebih kepada usaha atau penekanan untuk menunjukkan sokongan bahagian kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT) dan cadangan Presiden parti.

"Ini adalah keputusan UMNO Bahagian. Setiap kali usul atau mesyuarat atau ucapan penangguhan di bahagian-bahagian, itu adalah keputusan bahagian. Bahagian bebas membuat sebarang usul dan saya berterima kasih kepada bahagian… saya difahamkan ada 152 bahagian buat usul sokong saya sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15.

"Apa yang dilakukan bahagian adalah menurut apa diumumkan Presiden, apa diumumkan MT. Apa yang dilakukan adalah satu penekanan nak menunjukkan sokongan bahagian terhadap keputusan MT dan cadangan Presiden, tidak timbul isu tekanan daripada sesiapa,” kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kontraktor Bumiputera 2.0 dan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-43 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Awal hari ini, media melaporkan, 151 daripada 191 Bahagian UMNO seluruh negara dilapor sebulat suara menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri mewakili BN jika gabungan itu membentuk kerajaan selepas PRU15.

Namun, difahamkan terdapat dua Bahagian UMNO iaitu di Perak (Taiping dan Bukit Gantang) masih belum mengadakan mesyuarat.

Usul berkenaan selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan pengumuman Presiden UMNO, Ahmad Zahid di Mesyuarat Agung luar biasa UMNO tempoh hari.