PILIHAN Raya Kecil (PRK) adalah satu pilihan raya khas dan ia merupakan satu pilihan raya khusus bagi mengisi satu atau beberapa kerusi yang kosong akibat penyandangnya meninggal dunia atau mengalami sesuatu tindakan undang-undang.

Pilihan raya ini yang diadakan untuk memilih bagi mengisi kekosongan berkenaan, bukan dilihat sebagai satu peluang perebutan tetapi langkah pengisian dapat diadakan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.


Apakah yang membezakan PRU atau PRN dengan PRK?

Pastinya PRU atau PRN adalah pilihan raya yang diadakan apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan manakala PRK diadakan tidak mengikut jadual dan jenis pilihan raya ini telah dilaksanakan dengan lancarnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak ia ditubuhkan pada September 1957.

Tentunya, semua pilihan raya dilakukan mengikut peruntukan perundangan yang diluluskan. Dari segi keperluan, ianya merupakan satu keperluan Perlembagaan untuk mengadakan PRK.


Siapa pengganti

Secara umum apabila diadakan pilihan raya, sewajarnya dilihat sebagai siapa pengganti yang baik dan boleh meneruskan tugas sebagai wakil rakyat. Perkara yang besar dalam PRK ialah memilih seorang wakil rakyat yang dapat menyambung membawa suara pengundi di sesuatu kawasan namun sekiranya sepanjang tempoh perkhidmatan itu dilihat tidak memberi kesan baik, ia mungkin diambil alih orang lain.

Apa yang dibesarkan sekarang ada pihak yang mahu menjadikan PRK sebagai satu referendum yang membawa maksud atau membayangkan ciri-ciri untuk menggugurkan seseorang pemimpin. Perkara atau isu yang digunakan pihak berkenaan nampaknya telah mengelirukan pengundi kerana perkara yang hendak dibawa seolah-olah satu referendum yang besar dan mampu mengubah pentadbiran negara. Ia sudah diperbesarkan, riuh seperti ayam bertelur sebiji, riuh sekampung dan seolah-olah menghantar satu mesej pentadbiran negara yang boleh diubah selepas menang PRU.

Jika mahu digunakan indikasi referendum ini untuk mengubah kerajaan, tiada apa sebenarnya yang besar pada PRK tetapi diperbesarkan sehingga menjadi satu hasad dan misi Deklarasi Rakyat dilihat cuba mengambil kesempatan selain menyampaikan mesej tidak puas hati kepada Kerajaan.

Perkara kedua yang diperbesarkan adalah keretakan dalaman Pakatan Harapan yang melibatkan sengaja ditonjolkan pada musim kempen PRK kali ini yang mungkin mempunyai misi tertentu dan cenderung kepada kepentingan sesuatu parti. Jadi apabila isu remeh itu diperbesarkan, ia menjadi tiupan yang disebut-sebut pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar kali ini oleh pemerhati-pemerhati politik.

Seharusnya PRK ini cukup mudah difahami dan dikendalikan namun menjadi riuh dengan penglibatan beberapa isu serta agenda parti yang bertanding dengan niat sengaja mahu memporak-perandakan keadaan. Pusinglah bagaimanapun, gempitalah seluruh kawasan pengundi dengan isu sebesar gergasi, apabila keputusannya diketahui, ia tetap diwakili seorang sahaja untuk menyambung tugas yang ditinggalkan penyandang sebelum ini.


Mengubah sistem

Seorang pemenang itu hanya individu yang dipanggil Ahli Parlimen dan pastinya tidak mengubah langsung Kerajaan atau struktur sistem pentadbiran negara. Namun harus diambil kira, dari segi sejarah, semua parti cuba menjadikan sesuatu PRK itu besar kerana mahu mengambil tempoh kempen ini untuk menyelitkan mesej yang akan dipakai sebagai bekalan PRU atau PRN akan datang.

Sewajarnya, apabila PRK ini diadakan dalam bulan ibadat orang Islam dan kebetulan calon-calon yang bertanding semuanya Islam, maka cerita tentang provokasi, fitnah dan kata-kata kasar hanya mencederakan masa ibadah.

Oleh sebab itu, Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh kempen ini harus terus bersifat sederhana dan tidak memperbesarkan isu kerana terlalu ghairah hendak menjadikannya medan pertikaman lidah, pertunjukan poster yang berunsur provokasi dan sebagainya.

Konsep kempen yang cenderung kepada unsur biadab juga tidak perlu diperbesarkan pada bulan Ramadan. Ahli politik perlu menghormati waktu Tarawih selain menghentikan penggunaan kata-kata kesat atau fitnah semasa berkempen.

Secara umumnya parti politik sewajarnya boleh mengambil iktibar apabila ada PRK, mereka perlu mengurusnya secara kecil-kecilan dan bukan besar-besaran. Dari pandangan orang awam, ia sekadar proses memilih wakil rakyat baharu untuk disambung pentadbiran namun pengundi boleh teralih pendirian atau harapan bila pemilihan ini melibatkan pelbagai isu yang besar-besar dan tidak seharusnya ditimbulkan parti politik pada sesuatu PRK.

PRK bukan sesuatu yang baharu, benda ini kecil sahaja tetapi sengaja diperbesarkan dan dihebohkan dengan tambahan isu sensasi untuk meraih perhatian, tidak ada yang besar atau luar biasa dalam sesuatu PRK melainkan keriuhan pembangkang yang mahu perhatian seperti seorang anak kecil yang kurang kasih sayang.