Fokus akhbar utama tempatan hari ini sememangnya tentang majlis mengangkat sumpah Mohamed Azmin Ali, 50, sebagai Menteri Besar Selangor baharu yang diadakan semalam.

Namun, yang jelas tajuk-tajuk utama tampil berbeza, dengan sudut suntingan akhbar masing-masing.

Yang menjadi perhatian adalah muka hadapan akhbar Utusan Malaysia dan Sinar Harian, yang jelas tampil berbeza.

Sinar Harian dan Utusan Malaysia
Tajuk utama akhbar Sinar Harian dan Utusan Malaysia

“Azmin Kritik Khalid” merupakan tajuk utama akhbar Utusan Malaysia. Bahagian yang sama turut menyenaraikan perkara-perkara yang penting sehingga membawa ke majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Selangor ke-15 itu.

Turut disenaraikan adalah Azmin yang mengkritik Abdul Khalid yang memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Sinar Harian tampil dengan tajuk “Azmin Puji Khalid”.

Dada akhbar berkenaan turut berkata Azmin Ali menghormati cara kerja, dan sedia teruskan dasar peduli rakyat yang diamalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sementara itu, akhbar utama bahasa Inggeris turut menampilkan tajuk-tajuk yang menarik.

New Straits Times dan The Star
Tajuk utama akhbar New Straits Times dan The Star

“Bitterness over Azmin” (layanan dingin terhadap Azmin) merupakan tajuk utama akhbar New Straits Times.

Berita itu dimulakan dengan laporan bahawa Menteri Besar baharu itu menerima layanan dingin oleh pemimpin PKR dan DAP kerana mereka lebih memilih Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan itu.

Tajuk utama The Star adalah “I’ll get cracking” kerana ada beberapa isu seperti isu air, bible, dan peningkatan kes denggi dan jenayah yang perlu ditanggani.