Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata pihaknya sendiri mempunyai bukti dan terbuka untuk siasatan lanjut dilakukan pihak berwajib sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pendaftar Pertubuhan (RoS) atau Jabatan Peguam Negara.
"Sepuluh daripada Ahli Parlimen (BN) yang tandatangan ikrar SD (kepada Perikatan Nasional), mereka (juga) menandatangani dokumen kuasa membentuk kerajaan yang diberikan kepada Pengerusi BN.
"Kerusi yang dimenangi itu bukan hak peribadi, tetapi hak parti atau BN, menerusi tiga perkara yang ditandatangani. Kita ada rakaman video setiap seorang yang menandatangani ketiga-tiga dokumen itu, selain mereka tidak berada dalam keadaan tekanan ketika itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Rakyat (MyPPP) ke-71 di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Armada Bersatu pada 30 Ogos lepas membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid dengan mendakwa tindakan Presiden UMNO itu berunsur tipu helah atau memperdaya Yang di-Pertuan Agong ketika mengemukakan SD bagi membentuk Kerajaan Persekutuan pada November 2022.
-- BERNAMA