Kerajaan Malaysia sentiasa bersikap mesra dan ikhlas terhadap waris penumpang warganegara China yang hilang bersama pesawat Malaysia Airlines MH370.

Ini juga bererti kerajaan Malaysia tidak akan menyembunyikan sebarang perkara atau maklumat sebenar daripada keluarga terbabit, kata Pegawai Khas Malaysia ke China, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Bagaimanapun, oleh kerana siasatan masih dijalankan, maka maklumat tertentu tentang pesawat malang itu belum lagi boleh didedahkan, kata Chew, yang juga naib presiden MCA.

"Kami tidak pernah berniat untuk menyembunyikan maklumat daripada keluarga terbabit dan kami tidak mampu menyembunyikan kebenaran daripada negara yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara besar-besaran, yang bekerjasama dengan kami di kawasan sama.

"Anda perlu memberi kepercayan kepada negara yang terlibat dalam operasi SAR itu," katanya kepada keluarga berkenaan di Hotel Lido di sini dalam majlis takilmat berkala pada Jumaat.

Dalam taklimat itu, Chew diminta menjawab beberapa soalan bersifat teknikal berhubung kehilangan pesawat berkenaan yang dibangkitkan waris penumpang, walaupun tugas beliau di sini adalah untuk memberi sokongan dari segi emosi dan penjagaan kebajikan kepada keluarga terbabit.

Keluarga terbabit menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan Chew apabila beliau tidak mampu menjawab pelbagai jenis soalan yang melibatkan aspek tenikal berkaitan MHN370.

Malah, ada antara mereka menuduh kerajaan Malaysia menyembunyikan perkara sebenar di sebalik kehilangan pesawat itu dan mendesak kerajaan Malaysia membebaskan penumpang pesawat malang itu.

Chew menyatakan kepada keluarga terbabit bahawa beliau turut berkongsi kesedihan dan keperitan yang mereka alami.

"Mungkin semasa perbualan, jawapan yang diberi tidak memenuhi apa yang diharapkan," katanya.

Kabinet melantik Chew mewakili Malaysia ke China untuk berjumpa anggota keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam.

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Pada 24 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". Gerakan mencarinya sedang diteruskan.