Adakah patut bekas Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil masih dilantik sebagai penasihat khas Perdana Menteri selepas pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa dakwaan terhadap Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dan keluarga beliau adalah benar?

Ini adalah persoalan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang berkata perlantikan Shahrizat tidak boleh diterima berikutan pendedahan tersebut dan Menteri Pertanian ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, harus mengikut rentak Shahrizat dan meletakkan jawatan serta merta.

Zuraida berkata demikian selepas laporan tahunan 2012 SPRM menunjukkan syarikat keluarga Shahrizat tidak berpengalaman dan tidak ada keupayaan kewangan dan teknikal skandal NFC berpunca daripada kegagalan Kementerian Pertanian menjalankan semakan wajar sebelum menganugerah kontrak RM250 juta itu.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Kementerian Pertanian gagal memilih syarikat yang berwibawa untuk melaksanakan projek berkenaan.

“Penyelewengan dan kecuaian dalam pemberian projek besar kepada syarikat seperti ini menunjukkan kerajaan dan Muhyiddin tidak telus dalam menjalankan proses tender yang betul dan cekap.

“Di samping itu, tiada pertimbangan diberi kepada kod etika mengenai konflik kepentingan dalam ahli keluarga menerima pinjaman daripada kerajaan.

“Kecuaian di pihak kerajaan perlu ditangani kerana kita tidak tahu berapa banyak lagi projek-projek yang diberikan seperti ini,” katanya di satu sidang media di Parlimen hari ini.

Zuraida menegaskan semua proses tender perlu melalui pemeriksaan ketat bagi memastikan hanya pemohon yang layak dipilih.