Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan disaran menambah asetnya bersesuaian dengan keperluan situasi banjir bagi memudahkan operasi menyelamat, penyaluran bantuan terutama di kawasan pedalaman berdasarkan situasi banjir ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketika ini pihak keselamatan menghadapi kesukaran untuk membantu mangsa banjir serta menyalur bantuan asas kepada mangsa terutama di kawasan pndalaman.

Beliau juga akan membentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri bagi memohon untuk mendapatkan peralatan menyelamat seperti bot, dapur bergerak, dan sebagainya yang bersesuaian dengan kaedah menyelamat mangsa banjir.

Katanya, setakat ini kemudahan sedia ada belum mencukupi serta kurang bersesuaian untuk digunakan ketika banjir.

“Apabila kedalaman sesuatu kawasan ianya tidak boleh menggunakan kenderaan lima tan ataupun bot-bot peronda sedangkan bot besar tidak boleh masuk ke kawasan banjir berkenaan,” kata Zahid.

“Saya memohon dari pihak KDN dan MINDEF agar Majlis Keselamatan Negara dapat bersiap sedia membeli kenderaan yang bersesuaian dengan keperluan situasi banjir dan ianya boleh dimobilisasikan dengan segera,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku “Je t’aime" dan "the glory of God” di ibu negara siang tadi.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal berkata kementeriannya akan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi membantu mangsa banjir terutama di daerah Kuantan yang mendapat pinjaman MARA.

Shafie berkata kesan banjir yang paling teruk di Kolej Politek MARA yang tenggelam 5 kaki dan menjejaskan pelajar juga guru serta pusat KEMAS di sekitar Pahang.

Beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad bagi menyelesaikan bebanan mangsa banjir yang mendapat pinjaman MARA supaya mereka yang terlibat boleh menangguhkan pembayaran.