ALOR SETAR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah akan mempergiat Program Pengurusan Keselamatan Berasaskan Komuniti (CBSM) di negeri ini bagi menggalakkan penglibatan orang ramai dalam menyalurkan sebarang bentuk maklumat berkaitan ancaman kepada keselamatan negara.

Pengarah Keselamatan Negeri Kedah Mohd Zawawi Zakaria berkata tumpuan diberikan di daerah-daerah bersempadan dengan negara jiran selain kawasan perairan yang dipercayai kerap berlaku jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan.

"Contoh di kawasan Bukit Kayu Hitam di daerah Kubang Pasu dan di Padang Terap, kita ada dua pintu masuk antarabangsa, jadi mungkin dua daerah ini kita boleh libatkan komuniti untuk berkongsi maklumat.

"Mungkin kita boleh mengadakan program-program bersama penduduk ataupun agensi-agensi berkaitan supaya mereka menjadi mata dan telinga kepada agensi keselamatan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MKN Kedah di sini pada Isnin.

Beliau berkata menerusi program itu, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada komuniti setempat yang menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di kawasan mereka yang seterusnya disalurkan kepada agensi atau pasukan keselamatan yang berkaitan untuk diambil tindakan.

Menurutnya, selain kawasan atau daerah yang bersempadan dengan negara jiran, MKN turut memperluas program itu di daerah lain selaras dengan konsep dalam Dasar Keselamatan Negara iaitu Keselamatan Menyeluruh dan Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama.

Kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan CBSM bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan ahli komuniti dalam menjadi mata dan telinga kepada agensi keselamatan.

-- BERNAMA