Daerah yang dikesan dilanda titik panas adalah Pokok Sena, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Pendang, Kota Star, dan Langkawi.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) negeri Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz, berkata suhu pada waktu siang hari di Pokok Sena boleh turun naik antara 37 darjah hingga 40 darjah Celsius dalam tempoh tiga hari akan datang.
"Manakala bagi Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Pendang, Kota Star dan Langkawi pula suhu diramalkan antara 35 darjah hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh yang sama," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Sementara itu, beliau menasihatkan penduduk di negeri ini supaya berhati-hati ketika cuaca panas melampau.
Beliau turut menitipkan pesanan supaya menghadkan aktiviti luar bagi mengelakkan terkena cuaca panas.
"Jika anda perlu keluar, pilih pakaian berwarna terang, pakai topi dan gunakan payung.
"Selain itu, jika berada dalam rumah, gunakan penghawa dingin dan kipas angin dan yang paling penting, kekalkan terhidrasi dengan meminum banyak air dan meminimumkan pengambilan minuman berkafein," kata Muhammad Khalil lagi.