Menyedari permasalahan itu, syarikat bumiputera Yumny dari Pasir Gudang, Johor tampil menghasilkan inovasi mee daripada sayuran tanpa pewarna dan bahan pengawet tambahan.
Pengasas Yumny, Dr Khadijah Zakaria berkata, makanan sihat berasaskan sayuran itu diformulasikan sejak lebih 10 tahun lalu.
Katanya, banyak khasiat terdapat dalam setiap sayuran yang menjadi ejen perubatan mencegah dan merawat penyakit.
"Setiap sayuran juga mengandungi serat tinggi yang diperlukan tubuh badan, selain pelbagai vitamin, mineral dan polyphenol yang membantu pemulihan dari penyepit serta bertindak sebagai ejen pencegah penyakit.
"Sayur ini adalah makanan yang sedap kalau kita dapat proses dengan baik, contoh kalau dipanggang memang sedap. Dari situ saya nampak sayur ini sangat penting, tetapi lebih 92 peratus rakyat Malaysia tidak makan sayur dengan cukup.
"Jadi cara kita hendak naikkan (peratusan) untuk mereka makan sayur, saya buat satu inovasi daripada makanan yang biasa dimakan, contohnya mee kuning kepada mee sayur. Kalau kita lihat mee kuning banyak bahan pengawet tambahan, pewarna yang menyebabkan alergik, tinggi karbohidrat.
"Makanan yang mempunyai (pewarna, pengawet) boleh sebabkan anak-anak kecil hyperaktif, 'mood swing'. Jadi inisiatif kita kena tambahkan fiber yang terdapat dari sayur seperti bayam, lobak merah dan labu disamping guna protin dari telur",katanya ketika ditemui di kilang pemprosesan Mee Sayur Yumny di Perumahan Desa Rakyat Perdana di Pasir Gudang di sini.
Mengulas lanjut, Dr. Khadijah yang pernah terlibat dalam perubatan kanak-kanak dan ibu mengandung selama 30 tahun berkata, mee sayur yumny melalui proses pembangunan dan penyelidikan (RnD) selama dua tahun.
Dalam tempoh itu, Dr. Khadijah mencuba pelbagai bahan semula jadi bagi mengekalkan nutrisi yang dihasilkan dalam mee sayur.
"Yumny bercadang untuk terus menghasilkan produk berinovasi berasaskan sayur. Kami kini sedang dalam RnD chips (keropok) sayuran. Chips adalah makanan proses paling banyak karbohidrat yang mengandungi bahan pengawet tambahan, kimia, pewarna dan perisa yang sangat tidak baik untuk kanak-kanak.
"Kita nak buat chips makanan dari sayur. 'mucilage iaitu lendir dari sayur bertindak sebagai penganti bahan kimia tambahan. Ini masih lagi dalam proses RnD"
"Disamping itu kita juga berhasrat menghasilkan sup sayur dari brokoli, cendawan, labu dan sayur hijau, yang mana ianya boleh dimakan dan sesuai untuk kanak-kanak,"katanya yang berhasrat mahu memberi impak besar terhadap pemakanan seharian dengan mewujudkan 'functional food'.
Sehingga kini, terdapat tiga jenis mee sayur iaitu mee sayur bayam, lobak merah dan labu manis dengan tiga perisa iaitu kari, sup ayam dan laksa utara.
Selain dua jenis bentuk pasta iaitu shell dan spiral yang diperbuat dari sayur bayam, lobak, labu dan ubi bit merah.