PUTRAJAYA: Yayasan Didik Negara (YDN) yang ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Julai tahun lalu akan menjadi sebuah badan peneraju sumbangan dalam usaha melestarikan mutu sistem pendidikan yang lebih berkualiti di negara ini.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin, YDN akan menjadi sebuah entiti yang berperanan sebagai sebuah pusat sehenti sumbangan yang diterima dan bertanggungjawab untuk urus tadbir sumbangan dengan lebih teratur dan sistematik.

“Penyelarasan terhadap sumbangan-sumbangan ini dibuat oleh Yayasan Didik Negara bersama penyumbang-penyumbang. Selepas beberapa bulan ditubuhkan, YDN telah mengumpulkan sumbangan lebih RM20 juta sama ada dalam bentuk tunai dan lain-lain yang kebanyakan telah disalurkan kepada murid-murid di seluruh negara.

“Kita ingin mengajak bersama seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu tenaga dalam memastikan pendidikan negara dapat terus dilonjakkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan penubuhan yayasan tersebut di Putrajaya pada Jumaat.

Katanya lagi, penubuhan YDN akan menjadi pelengkap untuk memperkasa serta melahirkan generasi yang memenuhi aspirasi pendidikan negara agar mampu bersaing di peringkat global.

Sumbangan yang diterima juga akan ditumpukan untuk memberi bantuan kepada kumpulan sasar iaitu murid, warga pendidikan, sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM dalam meningkatkan akses dan kualiti pendidikan yang sedia ada.

YDN mempunyai fokus utama dalam memberi manfaat kepada sektor pendidikan merangkumi murid, guru dan juga sekolah.

Sejak penubuhanya, YDN telah menjalinkan pelbagai program dan pemberian sumbangan bersama pelbagai agensi dan badan korporat.

Pada majlis pelancaran YDN juga, pelbagai pihak termasuk dari kalangan syarikat gergasi terkemuka tanah air serta syarikat korporat turut menyerahkan sumbangan kepada YDN berjumlah lebih RM18 juta.