Kemahiran Lorenica Frenila Masundim, 34, dalam penulisan jawi itu diperolehnya ketika menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya Kota Kinabalu pada 2010.
"Saya mengenali tulisan jawi ketika sedang mengikuti pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan melalui kursus Pengenalan Sistem Ejaan Rumi dan Jawi yang diajar oleh pensyarah.
"Kini, saya mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu untuk Tahun Lima dan Enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9, Beluran.
"Dalam buku teks Bahasa Melayu ada diselitkan asas tulisan jawi dan saya berkongsi pengetahuan untuk diajar bersama dengan murid-murid di sekolah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Diminta mengulas mengenai videonya yang tular mengenai penulisan jawi, anak kelahiran daerah Paitan itu berkata, video itu hanya perkongsian rutin hariannya ketika mengajar di sekolah.
"Sebenarnya, kebetulan saya memang selalu berkongsi video tentang sekolah di Facebook, jadi saya lakukan perkara yang sama untuk pengajaran yang melibatkan tulisan jawi pada hari tersebut dengan mengambil video kemudian kongsikannya di media sosial.
"Ini memang rutin harian saya. Tapi saya terkejut dan tidak menyangka mendapat reaksi yang luar biasa.
"Saya rasa tidak layak mendapat pujian sebegitu kerana tiada bezanya saya dengan guru-guru lain yang menjalankan tanggungjawab mengajar Bahasa Melayu.
"Namun saya berharap video ini sedikit sebanyak dapat membuka minda dan memperbetulkan pemahaman masyarakat tentang tulisan jawi," katanya.
Kongsinya lagi, walaupun beragama Kristian, dia berpegang kepada fakta dan sejarah yang membuktikan bahawa tulisan jawi merupakan tulisan yang diubah suai khas untuk menulis Bahasa Melayu.
"Malah tulisan jawi menjadi medium komunikasi bertulis oleh seluruh lapisan masyarakat pada zaman dahulu, bermakna ia bukan milik mana-mana agama dan boleh dipelajari serta digunakan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.
"Tulisan jawi sama seperti tulisan lain yang wujud di dunia ini contohnya tulisan Korea, China, Thailand dan sebagainya," katanya yang sudah 10 tahun berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sebelum itu, dalam satu video berdurasi 12 saat yang dikongsikan sendiri dalam akaun Facebook Loren Fren memaparkan rutinnya ketika mengajar tulisan jawi di sekolah.
Video yang dimuat naik pada Khamis lalu itu tular dan mendapat komen positif daripada warganet selain turut mendapat perhatian daripada bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menerusi komen yang ditinggalkannya. - Sinar Harian