JERTIH: Seorang guru lelaki kerugian RM258,060 akibat terperdaya dengan sindiket "phone scam" atau penipuan menerusi panggilan telefon.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Azrol Anuar Nor berkata pada 26 Jun lepas, lelaki berusia 28 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dirinya daripada ibu pejabat sebuah syarikat penghantar barang terkemuka di Kuala Lumpur.

Beliau berkata individu itu memaklumkan kononnya terdapat satu bungkusan mengandungi kad pengenalan dan kad mesin pengeluaran automatik (ATM) yang menyalahi undang-undang atas nama mangsa.

"Selepas itu talian disambungkan kepada pihak yang menyamar sebagai polis dan mangsa dimaklumkan namanya juga terlibat dengan kes penggubahan wang haram serta penjualan akaun bank.

"Mangsa menafikannya tetapi pihak 'scammer' meminta mangsa membuat laporan polis secara dalam talian serta menyuruh mangsa mengosongkan akaun bank miliknya dengan memindahkan wang ke akaun sementara yang diberi oleh suspek bagi tujuan mengelakkan akaun mangsa dibekukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azrol Anuar berkata mangsa diberitahu bahawa wang tersebut akan dipulangkan semula setelah siasatan selesai.

"Oleh kerana percaya, mangsa telah memasukkan wang secara berperingkat sebanyak 27 kali ke beberapa akaun berlainan yang diberikan oleh 'scammer' terbabit sejak Jun lepas dan transaksi terakhir sebanyak dua kali pada Jumaat lepas berjumlah RM10,000," katanya.

Beliau berkata mangsa yang menyedari telah ditipu tampil membuat laporan polis pada 6.32 petang semalam.

Azrul Anuar berkata tindakan mengesan dan menangkap suspek kini giat dilakukan dan polis masih mengumpul bukti keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan sebarang penggilan telefon dan pesanan mesej yang diterima daripada pihak tidak dikenali melalui mana-mana platform agar tidak menjadi mangsa penipuan.

-- BERNAMA