KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar meminta Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menguruskan harta waqaf dengan tatakelola yang baik agar dapat memberikan manfaat kepada pembangunan ummah.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM berkata, pengurusan harta wakaf yang efisien dapat meningkatkan ekonomi masyarakat dan memperkasakan institusi, sekali gus memastikan tiada sesiapa pun yang ketinggalan daripada menikmati kehidupan lebih baik tanpa mengira bangsa dan agama.

Menurut Mohd Na'im, YWM juga perlu terus menghasilkan produk waqaf yang berinovasi dan berimpak tinggi sepertimana dilakukan sebelum ini antaranya Wakaf al-Muaqqat dan Wakaf Masjid Hijau yang berjaya menerima Anugerah Inovasi Jabatan Perdana Menteri 2024 pada Oktober lepas. 

"Saya selalu mengingatkan YWM untuk sentiasa meneroka pelbagai peluang dalam usaha memartabatkan wakaf Malaysia hingga peringkat antarabangsa. Malah pengukuhan kerjasama bersama pihak Majlis Agama Islam Negeri-Negeri perlu terus dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Biasiswa Al-Falah MADANI di bawah produk ‘myWaqafPTPTN’, anjuran YWM bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), di sini, pada Isnin.

Sebagai permulaan, beliau berkata, 70 mahasiswa dari pelbagai universiti dipilih mendapat biasiswa berkenaan yang disediakan kepada keluarga asnaf yang telah disahkan oleh Majlis Agama Islam Negeri dalam kalangan keluarga B40 dan M40 termasuk bukan beragama Islam.

Mohd Na’im berkata, program Biasiswa Al-Falah MADANI di bawah produk myWaqafPTPTN adalah lambang komitmen YWM untuk terus mengangkat nilai wakaf sebagai pemangkin kemajuan pendidikan di Malaysia. 

“Ia membuktikan pendidikan berkualiti tidak seharusnya menjadi hak eksklusif, tetapi merupakan suatu peluang yang boleh dinikmati semua pihak. Menerusi wakaf pendidikan, manfaatnya lebih meluas untuk semua tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Beliau turut menggalakkan individu atau syarikat untuk turut sama memainkan peranan mengeluarkan sumbangan zakat dalam bentuk wakaf bagi membantu golongan yang memerlukan demi kebaikan bersama.

Pada majlis itu, Mohd Na’im turut menyaksikan sesi menandatangani surat hasrat kerjasama antara YWM bersama tiga pihak iaitu Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Andorra Healthcare dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur.

Kerjasama itu bagi membiayai pembangunan projek wakaf berimpak tinggi, pembangunan hospital pakar dan penambahbaikan infrastruktur serta kebajikan pelajar melalui platform Go-Barakah.   - BERNAMA