PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) perlu melipatgandakan usaha untuk menyebarkan nilai-nilai rahmah dan kasih sayang dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata aktiviti serta program kemasyarakatan bersama komuniti merentasi budaya dan agama perlu diteruskan untuk memupuk kerukunan dalam masyarakat berteraskan nilai-nilai MADANI.

Beliau berkata justeru itu, YADIM dilantik mengetuai Program Dakwah Negara sepanjang bulan ini dan September bersama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Saya yakin dan percaya bahawa Program Dakwah Negara yang dianjurkan ini pasti merancakkan lagi arena dakwah di negara kita... ini adalah sebahagian usaha YADIM sebagai jurubicara di peringkat lapangan khususnya memberikan kefahaman berkaitan agenda Membangun Malaysia MADANI dan sudah tentulah program yang disusun adalah menarik, interaktif serta dapat menarik minat anak-anak muda," katanya.

Mohd Naim berkata demikian semasa berucap pada Program Pentas Akhir Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) dan Pelancaran Program Dakwah Negara di sini semalam. 

Program itu bertujuan menjadikan dakwah sebagai budaya masyarakat untuk menyeru ke arah kebaikan dan menonjolkan keindahan Islam selain memberi penjelasan serta penghayatan kepada masyarakat Islam tentang kepentingan mengamalkan kehidupan dengan mengambil kira prinsip Hubbul Watan (kecintaan kepada negara).

-- BERNAMA