Presiden Transparency International - Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar mencadangkan kerajaan mewujudkan strategi baru bagi mengembalikan kepercayaan pemberi maklumat terhadap enam buah agensi yang bertanggungjawab melindungi mereka.

Penerangan yang lebih jelas mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat perlu dilakukan dan bukan hanya memberikan pendedahan kepada agensi berkenaan semata-mata, kata Akhbar.

"Sepatutnya agensi terbabit perlu memberi penerangan kepada orang awam dan tidak kepada kakitangan kerajaan kerana mereka ini banyak sangat didedahkan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

"Jadi, kerajaan perlu mengambil strategi baru supaya masyarakat faham sama ada ia akan memberi kesan kepada kegiatan-kegiatan tidak baik termasuk rasuah dan jenayah di negara ini," katanya dalam satu temubual dengan Astro AWANI di pejabatnya di sini pada Ahad.

Tambahnya, masyarakat dilihat takut untuk menyalurkan maklumat kepada agensi-agensi terlibat kerana berkemungkinan tidak cukup jelas mengenai jaminan perlindungan yang terkandung dalam akta berkenaan.

"Pada masa ini, masyarakat sedang mempertikaikan akta ini kerana mereka tidak percaya sepenuhnya kepada agensi-agensi tertentu.

"Oleh itu, lebih baik keenam-enam agensi tersebut memberi penerangan kepada masyarakat bahawa undang-undang ini adalah undang-undang melindungi rakyat dan (mempunyai kuasa) menangkap sesiapa sahaja yang melakukan sesuatu tanpa agenda-agenda lain," ujarnya lagi.

Jelas beliau, terdapat tiga seksyen yang terkandung dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

"Dalam Seksyen 6 akta tersebut, kita perlulah memberi (maklumat) kepada enam agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

"Kedua, Seksyen 7 mengatakan bahawa apabila kita memberi maklumat (kepada keenam-enam agensi tersebut) maka seseorang itu tidak akan diambil tindakan jenayah atau sivil.

"Di bawah Seksyen 10 pula, agensi berkaitan akan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang," katanya.

Menurut Akhbar, sekiranya wujud kelemahan dalam akta tersebut, pindaan boleh dilakukan.

"Dalam setiap undang-undang mesti ada pro dan kontra. Jadi, ini berdasarkan kepada Parlimen. Kalau kita dapati undang-undang ini dilemah ia boleh dipinda.

"Saya dapati oleh kerana mereka membuat undang-undang sedemikian rupa, saya pasti mereka membuat kajian-kajian, terutama dari segi siasatan supaya mereka dapat melindung pemberi maklumat, bahkan juga maklumat diberi tidak akan bocor,"

Akhbar turut berkata terdapat dua jenis pemberi maklumat yang perlu dikenal pasti dan diteliti secara mendalam.

"Pertama, memberi maklumat kepada enam agensi terlibat termasuk SPRM, PDRM, Imigresen dan sebagainya. Kedua, pemberi maklumat sensasi, sedangkan maklumat itu tidak betul, ini akan memudaratkan negara.

"Justeru, ia perlu salur ikut undang-undang. Jika hendak disalurkan melalui akhbar, ia mestilah maklumat yang sahih kerana ini akan memberi manfaat kepada masyarakat dan negara," tambahnya.

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 adalah satu undang-undang Malaysia untuk memerangi rasuah dan lain-lain perbuatan yang salah dengan menggalakkan dan memudahkan pendedahan salah laku dalam sektor awam dan swasta.

Akta ini telah diluluskan Parlimen Jun 2010, dan dikuatkuasakan 15 Disember 2010.

Akhbar di dalam satu kenyataan pada Ahad berkata tindakan menggantung akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily sewajarnya dibuat selepas penyiasatan terhadap 1MDB selesai.

Beliau turut berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) seharusnya mengenakan tindakan undang-undang supaya pihak yang terbabit boleh membela diri mereka di mahkamah terlebih dahulu.