PERNAH dituduh hanya menangkap ikan kecil, kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima pujian kerana menangkap jerung malah yang paling besar.

Mana tidaknya, dua mantan perdana menteri, seorang timbalan perdana menteri, menteri Persekutuan, beberapa menteri besar dan ketua menteri sudah disiasat SPRM hingga didakwa di mahkamah.

Belum ada dalam sejarah dunia, jumlah seramai ini yang disiasat dan didakwa agensi pencegahan rasuah kita.

Semasa Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris pernah dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah.

Bagaimanapun, selepas menjalani hukuman penjara tiga tahun, Yang di-Pertuan Agong berkenan memberi pengampunan yang ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri.

Semasa pergolakan politik di Sabah pada Januari 1994, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ditahan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) dan didapati bersalah menyalahgunakan jawatannya untuk memberikan kontrak secara rasuah.

Beliau didenda RM1,800 tetapi tidak perlu melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri kerana Perkara 17 (1e) Perlembagaan Negeri Sabah dan Perkara 48 (e) Perlembagaan Persekutuan menetapkan kelayakan seseorang daripada memegang jawatan awam hanya boleh hilang sekiranya didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih setahun.

Semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, Mohamad Khir Toyo didapati bersalah menggunakan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor untuk membeli dua bidang tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta dengan hanya membayar RM3.5 juta di bawah harga pasaran.

Mohamad Khir dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada 2011 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam tetapi diberi parol selepas menjalani hukuman penjara enam bulan di Penjara Kajang.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula didakwa pada 30 Jun 2016 mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung urus niaga pembelian rumah yang juga di bawah harga pasaran.

Namun pada 4 September 2018, pihak pendakwaan memohon untuk dilepas tanpa bebas tetapi Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan untuk membenarkan kedua-dua pertuduhan itu dilepas dan bebas.

Kes ini berlaku ketika Dr Mahathir dilantik semula sebagai Perdana Menteri kali kedua di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, dua bekas Perdana Menteri didakwa di mahkamah ialah Najib pada 4 Julai 2018; Tan Sri Muhyiddin Yassin (10 Mac 2023) dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu berada dalam barisan pembangkang (26 Jun 2019).

Kes Najib Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Pada 2 Februari lepas, Lembaga Pengampunan mengumumkan  tempoh hukuman penjara Najib dipendekkan daripada 12 tahun kepada enam tahun  dan denda dikurangkan daripada RM210,000 kepada RM50,000.

Najib menghadapi beberapa kes rasuah lain dan juga  kes Muhyiddin kini masih berjalan di mahkamah, manakala mahkamah membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Ketika era Muhyiddin sebagai Perdana Menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 7 Ogos 2020, Guan Eng sekali lagi didakwa kerana meminta rasuah berhubung kes terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kertas pertuduhan mendakwa beliau meminta rasuah berjumlah 10 peratus daripada keuntungan syarikat berkenaan. Kes itu belum selesai di mahkamah.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mendapati bekas menteri, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan pengambilalihan Merdeka Palace Hotel & Suites oleh Felda di Kuching, Sarawak bernilai RM3.09 juta.

Bagaimanapun, pada 6 Mac 2024, Mahkamah Rayuan membebaskannya daripada tuduhan rasuah berkenaan.

Pada 16 Julai 2021, tiga hakim Mahkamah Rayuan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada tuduhan rasuah membabitkan RM2 juta dimasukkan ke dalam akaun syarikat dikawalnya sendiri.

Dalam satu kes lagi pada 10 April 2023, membabitkan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang sedang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017.

Pada 9 November 2023 pula, bekas Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengosongkan jawatannya sebagai Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selepas disabitkan dengan pecah amanah dana Bersatu sebanyak RM1 juta.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukumannya sementara menunggu rayuan dan beliau masih Ahli Parlimen.

Terdapat beberapa kes berprofil tinggi terkini disiasat SPRM, iaitu bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Perdana Menteri Dr Mahathir; dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Kesalahan jenayah boleh didakwa tanpa mengira tempoh masa. Jadi ini membolehkan pihak berkuasa mengambil masa untuk melakukan siasatan terperinci.

Pada 1970-an, Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Ahmad Said didedahkan mempunyai hampir RM1.2 juta dalam akaunnya.

Sebanyak RM330,000 dirampas pihak berkuasa kerana didapati diperoleh melalui rasuah. Beliau segera meletak jawatan.

Pada tahun sama, Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad diarah mengambil cuti dua bulan, kemudiannya digantikan Datuk Mahmood Sulaiman.

Di peringkat Persekutuan, Tan Sri Khaw Kai Boh diminta berundur daripada Kabinet.

Amalan ini menetapkan standard tinggi diamalkan di kebanyakan negara demokrasi tulen serta tadbir urus yang baik dengan kedaulatan undang-undang dan kepentingan awam lebih penting daripada memegang jawatan kerajaan.

Bila agaknya terutama ahli politik  di negara ini boleh ikut prinsip sedemikian rupa?

Namun, walaupun dalam sistem terbaik, termasuk yang telus, keadilan mungkin tidak selalu dapat dilaksanakan.

Dalam hal sedemikian, kita hanya boleh berharap akhirnya keadilan sebenar akan dilaksanakan Allah SWT.



Datuk Seri Akhbar Satar adalah Presiden Pertubuhan Integriti dan Governan Malaysia (MIG)

Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.