Presiden Indonesia, Joko Widodo yang kini dalam rangka lawatan rasmi tiga harinya ke negara ini, mahu menekankan kepentingan hubungan antara rakyat kedua-dua negara menerusi saluran diplomasi yang beliau harap dapat dicapai dalam kunjungan sulungnya ini.

Joko Widodo yang mesra dengan panggilan Jokowi juga berkata hubungan antara rakyat adalah penghubung diplomasi hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.

“Kita ingin agar diplomasi kita ini bukan hanya diplomasi elit tetapi diplomasi yang nantinya polisinya akan dirasai rakyat, itu yang paling penting. Hubungan ini bukan elit dengan elit atau menteri dengan menteri. Tidak.Yang kita akan lakukan nanti agar hubungan antara rakyat dengan rakyat itu bisa (boleh) diwujudkan.

"Komunikasi ini yang penting kerana kita harus sedar, kita adalah saudara serumpun,” tambah beliau dalam satu wawancara eksklusif di Jakarta, Indonesia bersama Pengarang Eksekutif Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron yang disiarkan pada Khamis.

Dalam wawancara itu beliau berkali-kali menekankan rakyat kedua-dua negara harus mendapat manfaat dan perlu diutamakan dalam apa juga yang kerajaan masing-masing mahu lakukan atau merancang.

jokowi
Wawancara eksklusif Astro AWANI di Indonesia bersama Pengarang Eksekutif Astro Awani, Kamarul Bahrin Haron - Foto Astro AWANI

“Kerajaan bercakap dengan kerajaan dan mungkin ketika ini industri dengan industri tetapi hasilnya perlu kembali kepada rakyat.

“Untuk memperkukuh diplomasi ini pertamanya jaringan hubungan. Hubungan antara kota dengan kota, ibu kota dengan ibu kota atau wilayah dengan wilayah, ini harus ada jaringan hubungan. Kemudian, kita ini juga mempunyai perairan, laut, jaringan itu mampu menghubungkan kita bukan sahaja Malaysia-Indonesia namun Singapura dan negara ASEAN yang lain.

“Yang kedua komunikasi. Rakyat juga perlu terlibat dalam komunikasi ini kerana apabila ASEAN membuka ekonominya sendiri, rakyat juga akan mengambil bahagian,” tambah Jokowi yang memulakan lawatan rasminya ke Malaysia hari ini.

LIHAT FOTO KETIBAAN JOKOWI DI MALAYSIA

Hubungan Ekonomi

Beliau juga menyentuh isu ekonomi rakyat yang perlu digerakkan antara Malaysia dan Indonesia agar rakyat di peringkat akar umbi boleh mendapat manfaatnya.

“Urusan ekonomi harus diperkuat, ertinya perdagangan antara Malaysia dan Indonesia harus diperkuat sehingga kedua-duanya mendapat manfaat.

"Ianya memang sekarang ini apa pun polisi yang kita putuskan harus terbaik untuk rakyat Indonesia dan Malaysia. Nanti saya akan melawat PROTON dan kita mungkin ada satu projek bersama Indonesia-Malaysia, terutama untuk kereta untuk automobil," tambah Jokowi.

Budaya

Beliau juga berkata diplomasi itu dapat dibentuk dengan pertukaran budaya antara Malaysia dan Indonesia.

“Pertukaran budaya harus menyentuh kepada rakyat seperti di sini kami selalu menonton Upin dan Ipin, nyanyian Siti Nurhaliza dan di Malaysia menonton nyanyian Kris Dayanti.

“Selepas ini bukan mereka sahaja namun ada lagi orang lain yang boleh membuat pertukaran budaya ini mungkin 10 orang, 20 orang yang lain, begitu juga tarian tradisi kita boleh dijadikan pertukaran budaya,”.

Dalam wawancara itu juga beliau berkata jika terdapat salah faham atau apa-apa isu, semua perkara itu boleh dibincangkan bersama.

"Mungkin secara bermesyuarat, atau secara tidak formal, atau jika tidak boleh berjumpa mungkin boleh membuat panggilan, saya kira semuanya mudah dikomunikasikan, semuanya dibincangkan. Kita ini saudara serumpun, jangan yang kecil dibesarkan, dan jangan yang bagus dibuat kecil atau dihilangkan,” kata beliau.

Ikuti wawancara penuh Astro AWANI.