PUTRAJAYA: Masyarakat diminta berwaspada dengan taktik penipuan menggunakan penyebaran video dan imej palsu atau 'deepfake' yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.


Ringkasan AI
  • Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta masyarakat berwaspada terhadap penipuan menggunakan video dan imej palsu atau 'deepfake' yang dihasilkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).
  • Fahmi Fadzil menekankan bahawa walaupun AI boleh digunakan untuk kebaikan, ada pihak yang menyalahgunakan teknologi tersebut, seperti yang dialami oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam satu panggilan video palsu baru-baru ini.
  • Beliau meminta Bernama dan RTM untuk menyebarkan kesedaran mengenai bahaya taktik penipuan menggunakan deepfake AI.


Berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini, beliau berkata penggunaan AI sememangnya membantu pembangunan negara, namun ada pihak yang menyalahgunakan teknologi berkenaan.

"Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam posting di Instagram beberapa hari lepas terima panggilan, dan tunjukkan (satu) panggilan WhatsApp video seolah-olah dia yang bercakap, rupa-rupanya 'deepfake' yang dibuat secara live.

"AI boleh diguna untuk kebaikan dan kejahatan. Kita perlu waspada maklumat diterima dan pastikan sebarang video diterima adalah benar (tulen) atau dihasilkan melalui aplikasi AI," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menguar-uarkan mengenai bahaya taktik penipuan menggunakan deepfake AI ketika ini.

Semalam penyanyi nombor satu negara itu dilaporkan mendedahkan taktik terkini digunakan 'scammer' yang dipercayai menggunakan teknologi AI bagi meniru suara dan wajahnya demi mengaut keuntungan.