Warga emas terjatuh sungai ketika memancing ditemukan lemas
Seorang warga emas ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di Jeti Kampung Hiliran hari ini.
Bernama
Fri Aug 30 2024
Rozizah berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi pencarian ditamatkan pukul 6.27 petang. - Gambar Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di Jeti Kampung Hiliran di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata mangsa dikenali sebagai Ahmad Ramzi Mohamad, 66, dari Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga di sini.
"Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.48 petang tadi sebelum menggerakkan 14 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan dua jentera dari BBP Kuala Terengganu dan BBP Jalan Kota ke lokasi.
"Tindakan PPDA membuat selaman di kawasan mangsa disyaki terjatuh membuahkan hasil apabila mangsa ditemukan pada kedalaman dua meter di lokasi kejadian pada 5.55 petang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Rozizah berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi pencarian ditamatkan pukul 6.27 petang.