Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Alfarra Mohamad Zin berkata akibat kemalangan itu, mangsa yang berusia 63 tahun didapati tersepit di dalam keretanya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 8 pagi tadi dan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.38 pagi.
"Sepasukan enam anggota bomba dikerahkan ke lokasi dan mendapati empat buah kereta terlibat dalam kemalangan, termasuk kereta Proton Wira yang dipandu mangsa.
"Tiga mangsa yang lain, masing-masing dari Perodua MyVi, Honda Civic dan Toyota Innova tidak mengalami kecederaan namun dirujuk ke Hospital Machang akibat trauma," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Alfarra berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA