Sumber menyatakan wanita berusia 50-an itu ditahan kira-kira 12 tengah malam tadi di Ibu Pejabat SPRM di sini ketika hadir memberi keterangan.
Sumber turut memaklumkan wanita berkenaan kini direman selama empat hari bermula hari ini selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini.
"Susulan tangkapan itu, SPRM turut menyita satu unit telefon bimbit.
"Reman terhadap wanita itu adalah susulan penahanan 11 individu termasuk empat penguat kuasa yang berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 menerusi Op Pump yang dijalankan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Pada Rabu lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata SPRM berjaya membongkar sindiket yang membawa masuk warga asing ke negara ini dipercayai tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.
Beliau berkata sindiket dipercayai turut didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur yang ditetapkan, menggunakan modus operandi 'counter setting'.
-- BERNAMA